Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO BERNAMA
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO BERNAMA
BERNAMA

Petaling Jaya: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneliti semula sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) beroperasi di negara ini menjelang 2025 seperti yang ditetapkan sebelum ini, kata menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat hampir 1,500 stesen pengecas EV yang beroperasi namun jumlah tersebut jauh daripada sasaran awal itu yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

Menurutnya, setakat ini kerajaan masih mengekalkan sasaran awal tersebut namun beliau bersama- sama rakan Kabinet akan melihat semula sama ada sasaran itu boleh dicapai ataupun tidak.

"Nampaknya target (sasaran) itu agak agresif kerana ada banyak isu yang perlu kita tangani dan ia melibatkan banyak proses dan agensi seperti proses kelulusan dan agensi seperti Suruhanjaya Tenaga, pihak berkuasa tempatan serta pihak-pihak lain," kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan pelan langganan pascabayar pemilikan e-motosikal, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, prosedur penyediaan stesen pengecas juga perlu diperkemaskan kerana terdapat aduan yang diterima daripada syarikat penyedia stesen pengecasan EV.

"Antara aduan yang diterima adalah mengenai tempoh kelulusan untuk menyediakan stesen pengecas yang mengambil masa yang lama.

"Saya dan rakan-rakan Kabinet akan memperhalusi proses dan meneliti cabaran tersebut bersama-sama pemain industri yang turut mengemukakan cadangan untuk memendekkan proses kelulusan pembinaan stesen pengecasan.

"Apa yang kita perlu fokus sekarang adalah bagaimana untuk melancarkan proses dan mendapatkan kelulusan dengan pantas," katanya.

Mengulas mengenai rebat Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik yang dijenamakan semula sebagai MARiiCas, Tengku Zafrul berkata beliau telah memaklumkan kepada Kementerian Kewangan (MoF) mengenai keperluan untuk menambah peruntukan.

"Permohonan MARiiCas amat memberansangkan namun kita juga perlu melihat tahap kelulusan permohonan. Kita masih membuat kajian, dan setakat ini tiada bantahan dari MoF," katanya.

Sementara itu, CelcomDigi Bhd dan anak syarikat Yinson Holdings Bhd, Yinson GreenTech hari ini melancarkan bersama pelan pemilikan e-motosikal dengan langganan pelan pascabayar pertama seumpamanya daripada syarikat telekomunikasi untuk memacu penerimagunaan kenderaan elektrik di Malaysia.

Pelanggan kini boleh menyewa milik e-motosikal rydeEV, hanya dengan mendaftar mana-mana pelan 5G Pascabayar CelcomDigi dengan pelan ansuran Easy360.

Ini merupakan tawaran pertama yang dilancarkan sejak kedua-dua pihak memeterai MoU pada September lalu dengan focus untuk meneroka pembangunan perkhidmatan dan infrastruktur kenderaan elektrik yang inovatif bagi pengguna Malaysia, dan memacu EV dan penerapan tenaga hijau di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 11:25 AM