Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika bergambar selepas menyempurnakan penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT atau DKP kepada 10 penerima di Pejabatnya, di sini hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika bergambar selepas menyempurnakan penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT atau DKP kepada 10 penerima di Pejabatnya, di sini hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan Perak akan mengkaji kadar baharu gaji hampir 9,000 penjawat awam negeri selaras pengumuman kenaikan melebihi 13 peratus gaji penjawat awam Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perbincangan akan dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) selepas menerima pekeliling berkaitan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Saarani secara berseloroh menyatakan jika kenaikan mengakibatkan implikasi kewangan besar maka pihaknya harus memperbanyakkan lagi dapatan hasil negeri seperti perlombongan unsur nadir bumi (NR-REE) lantanid.

"Lazimnya kita akan ikut (kenaikan gaji penjawat awam negeri), tetapi tengok juga kepada kemampuan kewangan.

"Kita belum menerima sepenuhnya pekeliling kerana biasanya Exco kerajaan negeri akan buat keputusan selepas kita dapat pekeliling itu, jadi kena sabarlah dulu.

"Ya, besarlah (implikasi kewangan) kepada negeri (jika ikut Persekutuan). (Maka) kita kena 'korek' lantanid lagi banyaklah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT atau DKP kepada 10 penerima di pejabatnya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini dengan membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Mengenai DKP, Saarani berkata, ia yang diperkenalkan sejak lima tahun lalu adalah usaha kerajaan negeri menyokong penggiat seni dan usahawan kreatif Perak dalam memperluaskan kegiatan seni mereka.

Katanya, ia juga satu bentuk sokongan kewangan kepada penggiat seni dan usahawan kreatif tempatan untuk menjalankan projek atau program berpaksikan budaya dan warisan serta kandungan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 2:47 PM