AKHMAL
AKHMAL
Ramlah Zainal


Watak Jibam yang lurus bendul dan kelam-kabut dalam sitkom popular Oh My English! cukup sebati dengan dirinya sejak dulu.

Menurut pelakonnya, Akhmal Nazri, ke mana saja dia pergi panggilan Jibam terus melekat dengan dirinya hingga sekarang.

Namun, kini Akhmal mahu mengikis nama Jibam dengan dirinya selepas tiga musim bersama program berkenaan.

“Saya sudah berusia 24 tahun dan tidak sesuai lagi melakonkan watak pelajar sekolah. Saya juga tidak mahu terus dibayangi watak itu.

Namun, saya tidak dapat menafikan watak Jibam juga memperkenalkan nama saya. Sebagai pelakon, pastinya saya bersyukur kerana watak Jibam dikenali ramai.

“Bukan saja peminat, malah anggota keluarga dan teman rapat juga memanggil saya dengan nama Jibam,” katanya.

Pemegang Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini berkata, dia juga sedar bukan mudah untuk mengikis nama Jibam dengan dirinya.

“Saya perlu bersabar untuk menanti masa yang sesuai untuk bebas daripada watak Jibam satu hari nanti,” katanya.

Selain Akhmal, OME turut dibarisi barisan pelakon popular seperti Zain Saidin, Fauziah Ahmad Daud, Nadiya Nissa, Amyra Rosly, Sherry Alhadad dan Rahim Sepahtu.

Sebagai pelakon, Akhmal juga ingin mencuba pelbagai watak sekali gus mengembangkan bakat lakonan sedia ada.

“Saya juga ingin keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang baru pula. Saya juga ingin mengelak dikaitkan dengan sebarang kontroversi dalam bidang hiburan.

“Saya ingin mengikut jejak pelakon hebat Bront Palare yang hebat di pentas lakonan berbanding gosip yang dikaitkan dengannya,” katanya.

Selain OME, dia turut bergandingan dengan Christina Suzanne arahan Bernard Chauly dan Safwan Salleh dalam telefilem Chalie.

Hos Jom Singgah

Selain bidang lakonan, Akhmal juga meminati bidang pengacaraan sejak di bangku sekolah.

Mula mengacara rancangan kanak-kanak, Anak Siapa Ni Eh!, Akhmal mengakui kini sampai masa dia mengembangkan bakat dalam cabang seni diminatinya itu.

“Saya minat mengacara sejak kecil dan bakat mula digilap menerusi program kanak-kanak. Namun, ibu bapa tidak memberi galakan kerana bimbang akan menjejaskan tumpuan pada pelajaran.

“Bersandarkan minat mendalam dalam bidang pengacaraan, saya mengambil keputusan menyambung pengajian di ASWARA sebelum menyertai sesi uji bakat untuk Oh My English!,” katanya yang pernah mengacarakan program bercorak interaktif Proksi di saluran TV1 sebelum ini.

Terbaru, Akhmal diberi kepercayaan mengacara program Jom Singgah musim baru yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis jam 1 tengah hari di TV3.

Selain Akhmal, program ini menampilkan Ifa Raziah, penyampai Hot FM, Tun Nadia dan pendatang baru Dayah Bakar.

Mengenai gandingan dengan tiga pengacara wanita, Akhmal mengakui dia tidak kekok untuk beraksi dengan mereka.

“Walaupun mempunyai empat pengacara, kami tidaklah dihimpunkan bersama dalam semua episod. Setiap episod akan menggandingkan dua daripada kami dan ia akan bertukar setiap hari.

“Saya juga menyertai program ini dengan misi hendak menarik minat lelaki membeli produk kesihatan dipromosikan sekali gus mengikis tanggapan masyarakat program Jom Singgah ialah rancangan untuk wanita saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 8:59 AM