SEBUAH pesawat menggugurkan  air sementara  seorang anggota polis menyembur air untuk memadamkan kebakaran tanah gambut di Kampar, Riau, kelmarin. - Antara
SEBUAH pesawat menggugurkan air sementara seorang anggota polis menyembur air untuk memadamkan kebakaran tanah gambut di Kampar, Riau, kelmarin. - Antara
Reuters

Jakarta: Agensi Pengurusan Bencana Indonesia yakin kebakaran hutan dan jerebu yang melanda rantau Asia Tenggara tidak seburuk tahun lalu kerana keadaan cuaca yang lebih menyebelahi dan tindakan pantas pasukan kecemasan.

Kebakaran hutan pada 2015 antara paling buruk direkodkan menyebabkan hubungan Indonesia dengan negara jirannya tegang serta menyebabkan kerugian ekonomi mencecah AS$16 bilion (RM 64.78 bilion).

“Kami yakin keadaan tahun ini lebih baik,” kata jurucakap agensi itu, Sutopo Nugroho kepada wartawan kelmarin.

Menurutnya, titik panas yang dikesan tahun ini berkurangan 61 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Enam wilayah juga mengisytiharkan darurat bagi membolehkan agensi bantuan bertindak lebih pantas berbanding tahun lalu.

“Pada 2015 hanya tiga wilayah mengisytiharkan darurat dan ia sebenarnya sudah terlambat.

“ Kebakaran hutan dan belukar sudah merebak ketika itu,” jelasnya.

Sutopo memberitahu, cuaca panas yang lebih lembap tahun ini berbanding keadaan kemarau tahun ini juga membantu menghalang kebakaran merebak.

Menurutnya, berdasarkan ramalan kaji cuaca, kemuncak musim kering adalah pada September dan berakhir pada Oktober ini.

“Setakat ini untuk bulan yang pertama, semuanya berada dalam kawalan kami,” katanya.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada tahun lalu mengarahkan kebakaran hutan yang berlaku hampir setiap tahun itu dihentikan segera.

Namun, kata Sutopo, masalah itu tidak dapat diselesaikan tanpa peningkatan dalam langkah pencegahan yang diambil pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 9:10 AM