PENGERUSI CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad (kiri) dan Abdul Rahman selepas AGM CIMB yang dijalankan secara maya.
PENGERUSI CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad (kiri) dan Abdul Rahman selepas AGM CIMB yang dijalankan secara maya.

CIMB Group Holdings Bhd akan memberi tumpuan pengembangan segmen yang disasarkan tahun ini terutamanya perniagaan kekayaan dan pengurusan kekayaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, kumpulan itu akan memperkukuh francais deposit dan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA), perbankan transaksi serta perniagaan rangkaian Asean serantau.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa kumpulan itu juga sudah mencapai kemajuan besar dalam peningkatan keselamatan dan daya tahan teknologi.

"Kami sudah melabur RM2.7 bilion dalam tempoh tiga tahun lalu, dengan RM1 bilion lagi tahun ini, untuk meningkatkan lagi platform digital kami.

"Ini termasuk pelancaran aplikasi perbankan mudah alih baharu kami CIMB OCTO di Malaysia bersama-sama dengan aplikasi yang diperbaharui untuk pasaran Singapura dan Indonesia kami," katanya dalam satu kenyataan bersempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-66 kumpulan perbankan itu semalam.

Abdul Rahman berkata, CIMB lebih komited dan mengikut jadual untuk melaksanakan semua inisiatif keselamatan yang dimandatkan oleh Bank Negara Malaysia untuk mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan kewangan, termasuk ciri "kill switch" dalam aplikasi perbankan mudah alihnya.

"Ciri itu membolehkan pelanggan membekukan ID perbankan dalam talian mereka dengan serta-merta jika mereka mengesan sebarang aktiviti luar biasa atau mencurigakan dengan akaun mereka.

"Kami juga sudah mengetatkan lagi peraturan pengesanan penipuan kami dan pencetus untuk menyekat urus niaga penipuan yang disyaki," katanya.

Menurut kenyataan itu, CIMB telah mempercepatkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)nya merentas perniagaan dan membuat kemajuan yang boleh diukur ke arah mencapai cita-citanya untuk menjadi peneraju kemampanan Asean menjelang 2024.

"Sebagai bukti, CIMB mencapai peratusan ke-80 pada Penilaian Kemampanan Korporat Global S&P selaras dengan sasaran Forward23+ untuk mencapai kuartil teratas menjelang 2024," katanya.

Selain itu, Abdul Rahman menyatakan bahawa pelan strategik Forward23+ mula dirumuskan pada tahun 2020 berdasarkan untuk mewujudkan nilai pemegang saham yang mampan melalui penambahbaikan bermakna kepada purata pulangan tahunan ke atas ekuiti (ROE) kumpulan.

"Ketika kami melepasi titik tengah dan dengan baki dua tahun lagi, strategi kami ialah untuk mencapai kemajuan positif dengan momentum yang kukuh ke arah melaksanakan cita-cita kami untuk menjadi bank Asean tertumpu terkemuka menjelang 2024," katanya.

Oleh itu CIMB berkata, ia sudah menetapkan sasaran utamanya bagi 2023 dengan memasukkan ROE antara 10.2 dan 11 peratus, jumlah pertumbuhan pinjaman lima hingga enam peratus, nisbah kos kepada pendapatan (CIR) di bawah 46.5 peratus, dan mengekalkan nisbah tier satu ekuiti bersama (CET1) melebihi 13 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 7:01 AM