TENGKU Zafrul (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Shahnaz Jammal pada taklimat media prestasi kewangan syarikat 2017 di Kuala Lumpur, semalam.
TENGKU Zafrul (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Shahnaz Jammal pada taklimat media prestasi kewangan syarikat 2017 di Kuala Lumpur, semalam.
Suffian A Bakar

Kuala Lumpur: CIMB Holdings Bhd, bank kedua terbesar negara berasaskan aset, mencatat lonjakan 25.6 peratus keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 kepada RM4.475 bilion, berbanding RM3.564 bilion yang dicatatkan dalam tahun kewangan sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat 9.7 peratus kepada RM17.626 bilion semasa tahun kewangan dikaji.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2017, keuntungan bersih CIMB menokok 24 peratus kepada RM1.060 bilion, disokong peningkatan dalam pendapatan bukan faedah dan penjimatan kos.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, peningkatan pendapatan operasi itu dipacu pertumbuhan 12.8 peratus dalam pendapatan bukan faedah, selari aktiviti pasaran modal yang lebih baik, pendapatan fi yang kukuh dan pertumbuhan 8.4 peratus dalam pendapatan faedah bersih.

“Kami gembira mencapai sasaran kewangan utama bagi 2017 dan melaporkan keuntungan sebelum cukai tertinggi berjumlah RM6.11 bilion, mewakili peningkatan 25.1 peratus disokong pendapatan operasi tertinggi, disiplin kos berterusan dan peruntukan yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai prestasi kewangan syarikat 2017 di Kuala Lumpur, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 4:06 AM