MITSURU (dua dari kanan) bersama Naib Pengerusi Zen-Noh, Harumi Nakagawa (kanan) dan Pengerusi Lembaga Penyeliaan Zen-Noh, Takeshi Takahashi (tiga dari kanan) mencuba buah pir Nikkori.
MITSURU (dua dari kanan) bersama Naib Pengerusi Zen-Noh, Harumi Nakagawa (kanan) dan Pengerusi Lembaga Penyeliaan Zen-Noh, Takeshi Takahashi (tiga dari kanan) mencuba buah pir Nikkori.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: AEON Big (M) Sdn Bhd (AEON Big) berhasrat memperkenalkan lebih banyak lagi produk berasaskan pertanian Jepun kepada pasaran Malaysia pada masa depan melalui kerjasama Persekutuan Kebangsaan Persatuan Koperasi Pertanian (Zen-Noh) yang berpangkalan di Jepun.

Pengarah Urusannya, Mitsuru Nakata berkata, langkah terbabit bakal dilaksanakan berikutan peningkatan populariti makanan yang sihat dan bersih di negara ini di mana syarikat dijangka memperkenalkan produk berkualiti tinggi serta hasil pertanian inovatif.

“Kami bakal membawa lebih banyak produk segar seperti ikan segar, sayur dan buah-buahan pada tahun depan bagi memberi lebih pilihan berkualiti kepada pengguna,” katanya pada pelancaran pir Nikkori dan ubi keledek Ibaraki Jepun di sini, semalam.

AEON Big memperkenalkan dua produk pertanian itu dengan kerjasama Zen Noh dan pengeksport serta pengimport buah dan sayur-sayuran tempatan iaitu Eurofarm, sekali gus menjadi pasar raya besar pertama di Malaysia memperkenalkan dua produk pertanian itu.

Pir Nikkori adalah sejenis buah pir baru yang dibangunkan Zen-Noh di wilayah Tochigi, Jepun manakala ubi keledek Ibaraki Jepun dihasilkan di wilayah Ibaraki iaitu pengeluar kedua terbesar ubi keledek di Jepun daripada aspek kawasan tanaman dan jumlah keluaran.

“Malaysia dan Jepun sentiasa memiliki hubungan baik di mana ia sudah dipupuk dengan baik melalui perdagangan dua hala kukuh dalam tempoh jangka panjang di mana ia dibuktikan melalui penyertaan kedua negara ini dalam perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP).

“Eksport hasil pertanian Jepun ke Malaysia ini bukan sahaja dilihat mampu untuk mengekalkan hubungan ekonomi baik kami dengan pelbagai negara, malah turut mempromosikan produk berkualiti kepada pasaran Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, AEON Big dijangka membuka dua lagi cawangan pasar raya besar baru menjelang tahun depan daripada 27 cawangan sedia ada pada masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 5:44 AM