LATAR kertas dinding corak berbunga dan sofa ringkas dengan kemasan eksklusif membuatkan sesiapa saja rasa lebih dihargai.
LATAR kertas dinding corak berbunga dan sofa ringkas dengan kemasan eksklusif membuatkan sesiapa saja rasa lebih dihargai.
CERIA dalam suasana minimalis glamor untuk kediaman jenis apartmen.
CERIA dalam suasana minimalis glamor untuk kediaman jenis apartmen.
REKA letak aksesori hiasan ringkas bersebelahan langsir.
REKA letak aksesori hiasan ringkas bersebelahan langsir.
CANDELIER tetap jadi pelengkap hiasan minimalis glamor.
CANDELIER tetap jadi pelengkap hiasan minimalis glamor.
DEKORASI eksklusif dari sudut ruang makan.
DEKORASI eksklusif dari sudut ruang makan.
HIJAU dilihat dominan di bilik anak lelaki Faizal.
HIJAU dilihat dominan di bilik anak lelaki Faizal.
ROMANTIK dalam aura merah jambu.
ROMANTIK dalam aura merah jambu.
KERTAS dinding corak berjalur ini menjadi titik tumpu ruang tamu.
KERTAS dinding corak berjalur ini menjadi titik tumpu ruang tamu.
FAIZAL dan Shahnaz saling bertukar idea.
FAIZAL dan Shahnaz saling bertukar idea.
Hartini Mohd Nawi


Kecintaan dan minat mendalam membuatkan sebahagian kehidupannya dilihat begitu sebati dengan dunia hiasan dalaman.

Idea dekorasi yang diinspirasikan silih berganti sering mencetuskan sentuhan baru selari dengan gaya hidup masa kini manakala aura klasik ‘kegilaan’ sesetengah orang pula tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Kali ini apartmen baru pereka dalaman Faizal Zain, 36, di Subang Bestari, Shah Alam, tampil dengan penataan minimalis glamor dalam perancangan yang cukup teliti.

“Dua konsep digabungkan iaitu minimalis dan glamor. Biasanya konsep glamor dilihat menghiasi banglo dan kediaman luas saja.

“Tidak menjadi satu kesalahan jika ia dizahirkan pada apartmen atau kediaman terhad asalkan kena gayanya,” kata Faizal.

Sering bereksperimen dengan setiap rumah didiaminya, nyata Faizal tidak pernah kering idea untuk menampilkan kelainan.

Jika kediaman barunya ini selesa dengan minimalis glamor, sebenarnya kediaman sebelum ini turut popular dalam kalangan peminat dan pelanggan apabila dekorasi dalam taman diterjemahkan.

Apartmennya itu kemudian diubah suai dan mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk tampil dengan dekorasi menarik.

Ramadan lalu antara kenangan paling manis buat beliau dan keluarga yang selesa berada di kediaman berkenaan.

Pemilik Zaldeco Inspirations ini menggabungkan perabot moden dan sedikit minimalis. Meja makan, rak televisyen dan sofa moden tampil dalam reka bentuk ringkas.

“Saya cuba sedaya upaya untuk melihat sejauh manakah minimalis glamor mampu mengubah suasana apartmen ini.

“Malah selesa dengan penggunaan warna ‘scrome silver’ dan keemasan.

“Warna ini lebih ‘masuk’ dengan hiasan dan tidak terlalu berlebihan,” kata Faizal yang tidak menafikan kediaman berkeluasan terhad memerlukan pilihan warna terang untuk kelihatan lebih luas dan tidak terlalu sarat.

Sejujurnya bagi penulis, kertas dinding antara titik tumpu di ruang tamu. Sesiapa pun pasti tidak terlepas pandang corak berjalur menegak di depan mata yang menjadi latar rak televisyen.

Bersandar pada sofa dengan latar kertas dinding corak dan bertekstur dengan kombinasi warna coklat keemasan pastinya memberikan pengalaman berbeza.

Kombinasi dua kertas dinding itu memberikan efek dan privasi yang anda inginkan.

Bagaimanapun, pada ruang makan tidak dihiasi kertas dinding untuk mengimbangi suasana.

Cukup sekadar pilihan lampu hiasan unik yang memantulkan cahaya menarik pada dinding polos itu.

Ia juga antara alternatif menggantikan kertas dinding dan menjadi pelengkap gaya ringkas di ruang itu selain set kerusi dan meja makan putih.

“Seperti biasa, gaya glamor juga tidak dapat lari daripada lampu candelier.

“Dalam situasi itu, tatahias ruang tamu kediaman ini tampil menarik dengan reka letak lampu candelier daripada koleksi kaca yang ringkas,” kata Faizal yang memilih langsir polos daripada jenis satin keemasan sementara permaidani empuk tanpa corak membantu menampilkan penataan ruang tamu yang penataannya tidak terlalu ‘berat.’

Beralih ke bilik tidur utama pula, aura romantik dapat dirasai sepenuhnya apabila warna merah jambu begitu dominan.

Sekali imbas, dekorasinya menyamai gaya Inggeris dan perlambangan kasih sayang antara Faizal dan isterinya, Shahnaz Mohamed, 34.

Perabot putih bercirikan minimalis turut diketengahkan bersama kemasan langsir bercorak bunga-bungaan.

Seterusnya bilik tidur anak lelakinya, Faiz Al Haikal, 11, lebih dominan dengan warna kegemaran iaitu hijau.

Bagi mewujudkan suasana santai dan selesa belajar, dekorasi ringkas dan praktikal sekali lagi menjadi pilihan utama.

Tidak terkecuali bilik anak perempuan, Binafsha Ahadiya, 10, yang bakal menyerlah dengan dekorasi pilihan sedikit masa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:01 AM