PEMILIK kediaman bercirikan Paris moden, Nurbaya Atiffin bersama anak perempuan, Nur Nadira Dzukifli di iSoho, Shah Alam. FOTO Aizuddin Saad
PEMILIK kediaman bercirikan Paris moden, Nurbaya Atiffin bersama anak perempuan, Nur Nadira Dzukifli di iSoho, Shah Alam. FOTO Aizuddin Saad
Zaitie Satibi

WARNA kelam seperti kelabu secara lumrahnya bukan pilihan ideal dalam kebanyakan hiasan ruang. Ini kerana kelabu lazim dikaitkan dengan ton kesuraman selain turut dikaitkan dengan ekspresi negatif.

Namun, kelabu sebenarnya lebih banyak menghiasi ruang kediaman jenis apartmen atau kondominium berikutan warna ini dikatakan mudah menterjemahkan persekitaran moden dan minimalis, di samping mula digemari pemilik kediaman yang memiliki cita rasa ringkas.

Limpahan kelabu dipadankan dengan putih yang melatari majoriti dinding, perabot dan aksesori di apartmen dua bilik milik pasangan bersara, Dzulkifli Abdul Hamid, 59 dan Nurbaya Ariffin, 56, berjaya menghidupkan rumah moden kontemporari dengan gaya Paris, Perancis.

BINGKAI dan cermin
BINGKAI dan cermin

JENDELA luas bersama langsir labuh ciri gaya Paris. FOTO Aizuddin Saad
JENDELA luas bersama langsir labuh ciri gaya Paris. FOTO Aizuddin Saad

Biarpun kecil dengan keluasan antara 465 hingga 769 kaki persegi, warna kelabu dan putih ternyata tidak memberi ilusi sempit sebaliknya memberi aura mewah menawan kepada suasana rumah mereka.

Pelan lantai yang ringkas kerana apa yang diperlukan bagi mencipta mood apartmen ala Paris adalah ruang yang tidak terlalu luas. Cukup sekadar satu atau dua bilik, ruang tamu dan dapur serta bijak bermain dengan ruang yang ada terutama untuk menyusun atur perabot.

Dekorasi yang diinspirasikan daripada gaya Paris ini sebenarnya menggalakkan campuran antara lama dan baru. Oleh itu, penggunaan warna adalah satu cara untuk menunjukkan perbezaan antara kedua-dua zaman berkenaan.

Dalam gaya Paris, sentuhan orang Perancis sememangnya menyenangi warna putih bagi menggambarkan gaya lama. Misalnya, siling dan dinding perlu segalanya putih, oleh itu padanan dengan warna kelabu menimbulkan kontras unik selain memberi suntikan moden.

Menurut Nurbaya, beliau sekeluarga memilih dekorasi kediaman gaya Paris moden kerana tertarik dengan ciri minimalis yang menjadikan ruang kelihatan bersih, kemas dan tidak sarat.

“Minimalis sesuai dengan reka bentuk rumah moden yang lebih fokus kepada fungsi setiap ruang dalaman rumah kami.

“Malah, dekorasi ruang tamu yang ringkas mampu mengurangkan tekanan selepas seharian sibuk dengan aktiviti di luar.

“Bagi saya dan suami, kami perlukan ketenangan sebegini untuk beristirahat dan meluangkan masa bersama anak cucu bagi menghabiskan usia persaraan,” katanya yang pernah terbabit dalam institusi perbankan.

Biarpun berkonsep ruang terbuka apabila ruang tamu bersatu dengan dapur, gaya Paris mendorong setiap bahagian melengkapkan satu sama lain dalam keharmonian yang sempurna.

Jendela yang besar dan luas menjadi tanda pengenalan seni bina Paris. Ini kerana kebanyakan apartmen di kota romantik itu memang dibiarkan bertingkap besar bagi membolehkan cahaya luar masuk terus ke dalam kediaman.

Pintu gelongsor dan jendela di apartmen berkenaan dilengkapkan langsir labuh yang juga ciri gaya Paris. Langsir yang digantung tinggi juga memberikan ilusi siling tinggi sekali gus membuatkan ruang kecil kelihatan luas.

Gaya Paris tidak lengkap tanpa ciri seni bina dinding, sehubungan itu panel kayu berbentuk bingkai atau ‘wainscot’ menunjukkan cita rasa seni orang Paris yang lazim mempunyai pengaruh klasik dan kontemporari.

“Selain itu, saya turut menggantung bingkai pada beberapa bahagian dinding seperti di ruang menonton dan kamar tidur bagi memanfaatkan ruangan negatif akibat warna putih dan kelabu.

“Malah, sekeping permaidani besar dihampar di ruang menonton kerana bahagian lantai kosong tanpa kemasan.

“Begitu juga dengan pokok hiasan, saya menerapkan sedikit unsur hijau seperti di meja makan, kabinet televisyen, meja kopi dan dalam bilik mandi supaya dekat dengan alam semula jadi,” katanya.

Bagi membangkitkan seri ruangan, Nurbaya menyuntik elemen biru dan biru firus pada sebahagian aksesori. Paduan warna terang ini bersama kelabu dan putih menghasilkan kontras yang mengindahkan pandangan.

Menciptakan tampilan sebegini amat mudah dan tidak bertentangan dengan kepercayaan popular kerana ia tidak memerlukan ruang yang besar, mahupun penggunaan banyak perabot. Abadi, bersahaja dan ada kelas tersendiri, inilah gaya Paris yang elegan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 7:15 AM