KONSEP terbuka di ruang tamu, ruang makan dan dapur.
KONSEP terbuka di ruang tamu, ruang makan dan dapur.
Muhamaad Razis Ismail


PADA mulanya pasangan suami isteri ini menggunakan khidmat pelukis tiga dimensi (3D) dari sebuah syarikat rekaan dalaman untuk menghias rumah mereka mengikut konsep yang diinginkan.

Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila hasilnya tidak menepati seperti diharapkan.

Masnita Elias dan suami, Mohd Fairuz Kasmoin kemudian mengambil keputusan untuk menghasilkan rekaan sendiri biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang hiasan dalaman.

Berbekalkan minat dan pengetahuan, pasangan akauntan masing-masing berusia 35 tahun ini berjaya menghias rumah berkembar dua tingkat bersaiz 3,000 kaki persegi dengan mengetengahkan konsep minimalis yang diidamkan.

Perkongsian di Instagram miliknya mendapat maklum balas positif dalam kalangan warganet.

Bermula di tingkat bawah yang menempatkan ruang tamu, ruang makan dan dapur berkonsepkan terbuka di mana ketiga-tiga ruang ini bersambung serta tidak dipisahkan dinding.

Dinding televisyen di ruang tamu dipasangkan panel dinding (wainscoting) moden dan dicat dengan warna hitam. Kabinet televisyen dan sofa juga berwarna hitam bagi melengkapkan penampilan gaya minimalis.

MASNITA bersama keluarganya.
MASNITA bersama keluarganya.

Untuk menaikkan seri, dua pasu besar pokok hiasan segar diletakkan di pintu gelangsar dan satu pokok sederhana di tepi televisyen.

Di bahagian belakang ruang makan, terdapat mini gimasium yang mempunyai pintu gelangsar untuk ke taman.

Di tingkat atas yang menempatkan bilik tidur utama dan dua bilik anaknya, warna putih sebagai warna dominan. Ruang tangga pula dilengkapi pelbagai lampu dinding dan candelier besar, namun masih mengekalkan dekorasi yang sangat minimalis.

Pokok hiasan segar juga diletakkan dii pelbagai sudut sebagai penaik seri.

Kedudukan kediaman yang terletak di lot tepi memberi peluang kepada pemiliknya memanfaatkan halaman rumah dengan membina taman yang diinspirasikan dari 'Italian Garden.'

BILIK tidur utama yang ringkas dan kemas.
BILIK tidur utama yang ringkas dan kemas.

Masnita berkata, dia sukakan konsep minimalis kerana ia sentiasa relevan dan tidak lapuk di telan zaman.

"Ramai orang salah faham bahawa konsep minimalis ini segala-galanya mesti kosong. Hakikat sebenarnya masih ada dekorasi, tetapi minimum dan tidak sarat.

"Semua barang ada fungsi masing-masing dan bukan sekadar hiasan semata-mata," kata ibu kepada dua cahaya mata itu ketika dihubungi.

Katanya, dia amat meminati dekorasi rumah sejak remaja apabila sering bereksperimen dengan warna garang dan mengubah susun atur bilik tidur.

"Saya sangat tertarik melihat rumah mewah yang sentiasa menampilkan gaya yang luar biasa dan (pada ketika itu) sukar difahami. Contohnya kolam renang dalam bilik air, kawasan terbuka dan mempunyai pokok besar di tengah rumah (indoor courtyard).

"Apa yang saya perasan, jarang sekali mereka menggunakan dekorasi yang sarat dengan hiasan. Rumah mereka sentiasa bersih, kemas dan elegan. Saya selalu tertanya-tanya, di mana mereka menyimpan barang keperluan mereka?" katanya.

MEMAKSIMUMKAN penggunaan kabinet untuk menyimpan barang.
MEMAKSIMUMKAN penggunaan kabinet untuk menyimpan barang.

Menurutnya, proses dekorasi rumah dimulakan dari dapur kerana bahagian itu paling 'cerewet' dengan perkakasan elektrik, sumber air dan paling kerap digunakan.

"Saya mahukan kabinet hitam dan ruang kaunter kosong. Ruang kabinet mesti dibina semaksimum mungkin untuk menyimpan semua barang.

"Disebabkan banyak warna gelap di dapur, saya buat satu tingkap besar dan satu pintu kaca untuk membekalkan sebanyak mungkin cahaya semula jadi dalam dapur," katanya.

SETIAP perabot mempunyai fungsi tersendiri.
SETIAP perabot mempunyai fungsi tersendiri.

Ditanya berkenaan pemilihan warna, beliau berkata, hitam dipilih kerana ia nampak sangat elegan.

"Disebabkan gaya asal rumah ini berkonsepkan terbuka dan mempunyai banyak pencahayaan semula jadi, dia berani menggunakan warna hitam sebagai warna utama.

"Selain itu, warna ini juga lebih mudah dijaga dan sukar nampak kotor. Saya gunakan warna putih untuk mengimbangi warna hitam.

"Menerusi penggunaan lampu putih di siling dan lampu kuning pada dinding, suasana mewah dapat diwujudkan tanpa perlu mengeluarkan belanja besar," katanya.

Jelasnya, biarpun mengakui dirinya agak cerewet dalam menghias kediaman sehingga memakan masa, Masnita merasakan ia amat berbaloi kerana dapat merealisasikan rumah idaman.

"Kekangan waktu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selera saya yang agak cerewet menyebabkan banyak masa dihabiskan dengan meneliti rekaan serta membuat penambahbaikan.

"Dapat menduduki rumah idaman dengan hasil titik peluh sendiri, saya rasa tidak perlu lagi bercuti atau ke hotel untuk berasa tenang dan gembira," katanya sambil berseloroh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 7:01 AM