USTAZ KAZIM akan membuat laporan polis berhubung dakwaan berlakunya pencabulan seksual di Pusat Pendidikan Al Barakah. FOTO Supian Ahmad
USTAZ KAZIM akan membuat laporan polis berhubung dakwaan berlakunya pencabulan seksual di Pusat Pendidikan Al Barakah. FOTO Supian Ahmad
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Penceramah bebas Datuk Mohammad Kazim Elias akan mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis berhubung dakwaan berlakunya kejadian liwat dan gangguan seksual di pusat pendidikannya yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim Elias itu, menegaskan pencabulan seksual itu tidak pernah berlaku di Pusat Pendidikan Al Barakah, di sini dan dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba mencemarkan imej pusat pendidikannya serta imej Islam.

"Kami mempunyai dokumen yang berpaksikan keterangan saksi, rakaman video termasuk ketika perjumpaan dengan ibu-bapa pelajar yang dikatakan terbabit dalam kes berkenaan selain surat-surat berhubung kes ini.

"Semua bukti berkenaan akan diserahkan kepada peguam kami. Bersandarkan kepada reputasi sekolah, saya dan Islam itu sendiri, saya akan melihat kepada kesemua aspek yang ada bagi menentukan tindakan seterusnya," katanya dalam sidang media di Pusat Pendidikan Al Barakah di sini hari ini.

Menurutnya, dakwaan yang dibuat itu adalah serius dan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

"Kami berikrar untuk tidak berkompromi dalam apa jua cara sekiranya benar insiden berkenaan berlaku. Kami akan menyerahkan siapa juga yang terbabit kepada pihak berkuasa untuk dihukum mengikut lunas undang-undang walaupun membabitkan darah daging saya sendiri.

"Saya juga akan membuat tiga atau empat laporan polis berhubung dakwaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, membabitkan pihak yang membuat dakwaan, yang menyebarkan dan berkongsi dakwaan itu," katanya.

Ustaz Kazim akan membuat laporan polis berkenaan pada 3 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 1:26 PM