Mohd Hafizee Mohd Arop

KERAJAAN Perak akan berbincang dengan pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah untuk mengenal pasti kaedah yang sesuai bagi membolehkan pusat berkenaan terus beroperasi seperti biasa.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri komited untuk membantu pusat berkenaan yang dimiliki penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias, demi kepentingan pelajar dan kakitangan pusat berkenaan.

“Untuk makluman, pihak kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai kekangan dana yang dihadapi oleh pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah sehinggalah isu berkenaan dilaporkan oleh pihak media dan ditularkan di media sosial.

“Bagaimanapun, saya komited untuk membantu pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah demi kepentingan pelajar dan kakitangannya.

“Saya juga menyambut baik keputusan Datuk Mohd Kazim untuk menangguhkan sementara cadangan penjualan Unit Tahfiz Al-Quran sementara mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri demi kemashlahatan ummah yang mendapat manfaat daripada aktiviti pengajian Islam di pusat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataannya di Ipoh hari ini.

NSTP semalam melaporkan, Datuk Mohd Kazim atau dikenali sebagai Ustaz Kazim mengesahkan akan menjual unit tahfiz di pusat berkenaan kerana tidak mampu lagi menampung kos pembiayaan pusat berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM150,000 sebulan.

Bagaimanapun hari ini, Ustaz Kazim yang mengadakan sidang media memberitahu penangguhan penjualan unit berkenaan sementara menunggu perbincangan dengan kerajaan negeri dan beberapa pihak lain.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut menegaskan kerajaan negeri tidak pernah sama sekali mengeluarkan arahan mengharamkan Ustaz Kazim daripada berceramah.

“Mengenai fitnah kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah mengharamkan Datuk Mohd Kazim Elias dari berceramah, ingin saya tegaskan kerajaan negeri tidak pernah sama sekali, secara langsung atau tidak langsung mengeluarkan arahan sedemikian.

“Biarpun begitu, secara peribadi saya memaafkan pihak tidak bertanggungjawab yang terbabit menyebarkan fitnah berkenaan serta mendoakan semoga mereka mendapat pengampunan dan petunjuk dari Allah,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Ustaz Kazim tangguh jual tahfiz [METROTV]'

'Kerajaan Perak sedia bantu Al-Barakah'

'Ustaz Kazim terpaksa jual sekolah tahfiz [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 4:11 PM