ACER Swift 3
ACER Swift 3
Afiq Hanif

Masih ada pasaran yang luas bagi laptop ultra mudah alih asalkan kena pada harganya, nampak ‘lawa’, beroperasi pantas dan skrin yang baik.

Itulah yang boleh didapati pada Acer Swift 3 dengan harga RM2,899 membolehkan anda memperoleh skrin 14 inci jenis HD penuh 1920 x 1080 IPS selain kuasa pemprosesan Intel Core i5-6200U 2.3GHz 6th Gen dual core.

Harga terbabit juga membolehkan anda memiliki memori 4GB DDR4 SDRAM, grafik Intel HD Graphics 520 dan storan 256GB SSD Serial ATA/600.

Penguji agak teruja dengan rekaan laptop meskipun ia boleh dikategorikan sebagai laptop peringkat permulaan bagi Swift berbanding abangnya Swift 7 apatah lagi dengan bezel yang meliputi keliling laptop juga nampak lebih kemas bagi Acer.

Warna emas yang diuji cukup cantik dan berat 1.5kg nampak biasa saja, namun agak ringan jika mahu dibandingkan dengan sesetengah laptop 14 inci di pasaran.

‘Hinge’ direka dengan baik dan skrinnya boleh diputar sehingga 180 darjah yang sesuai kepada individu yang gemar menaip kerja ketika baring di katil atau duduk relaks di sofa.

Terdapat dua slot USB 3.0, USB 3.1, output HDMI video dan pembaca kad. Selain itu, lampu LED juga kelihatan pada hujung kiri laptop.

Skrin 14 inci mempunyai kemasan ‘matte’ dan panel IPS, namun ia bukan jenis yang sempurna terutama ketika berada di bawah pencahayaan yang terang.

Seperti mana-mana ultra mudah alih Acer sebelum ini, papan kekunci laptop ini memang jelas mencerminkan ciri syarikat terbabit dan menariknya ia mempunyai butang kekunci sendiri bagi Home, End, PgUp dan PgDw.

Acer meletakkan dua kipas pada laptop ini, namun penguji tidak pasti sama ada ia dikawal secara berasingan oleh CPU atau GPU tapi kemungkinan besar tidak.

Kedua-duanya beroperasi agak kerap dan agresif lebih daripada apa yang penguji jangkakan.

Bagi penguji, Acer Swift 3 masih pilihan yang baik jika anda mahukan laptop ultra mudah alih dengan bajet yang sederhana dan mempunyai jangka hayat bateri sekitar lima hingga tujuh jam.

Paling kurang, ia sedikit baik berbanding pesaing seperti Lenovo dengan model IdeaPad 500s 14.

INFO

ACER SWIFT 3

• PENGELUAR: Acer

• CIRI: laptop ultra mudah alih

• PRO: Harga berbaloi

• KONTRA: Tidaklah terlalu ringan

• LAMAN FB: www.facebook.com/ AcerMalaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 11:30 AM