AFP

Rio de Janeiro: Atlet Switzerland Nico Schurter (gambar) sekadar meraih gangsa di Beijing dan Perak di London, namun dia akhirnya meraih pingat emas pada penampilan ketiga di Sukan Olimpik Rio menerusi acara basikal bukit lelaki.

Juara dunia itu mengatasi pemenang pingat emas 2012 Jaroslav Kulhavy dari Republik Czech sementara atlet Sepanyol Carlos Coloma meraih gangsa.

Juara dunia acara lebuhraya dari Slovakia Peter Sagan pada mulanya berada dalam kedudukan 10 terbaik, tetapi dia terjatuh sebelum meneruskan saingan di kelompok belakang.

Schurter, Kulhavy dan Coloma di depan pesaing lain selepas berakhir pusingan pertama dengan Schurter jelas menguasai saingan di pusingan terakhir sekali gus meraih pingat emas.

“Saya sudah bekerja keras selama empat tahun untuk meraih pingat emas ini,” kata atlet berusia 30 tahun itu.

“Jika kembali melihat pencapaian lalu, saya memerlukan kejayaan pingat perak di London untuk kembali bersemangat tampil di sini.

“Bagi saya, ia adalah kisah yang cukup sempurna. Saya meraih gangsa di Beijing, perak di London dan sekarang emas di Rio,” katanya.

Hujan lebat pada hari terakhir pertandingan sebelah pagi di Rio menyaksikan trek kurang baik dan Kulhavy tetap gembira meraih perak.

“Ia sangat sukar dan keadaan trek menjadi berbeza. Sangat licin dan untuk menuruni bukit juga agak sukar.

“Saingan di sini berbeza berbanding di London. Schurter sangat cemerlang sepanjang tahun ini. Saya ucapkan tahniah kepada kerana memenangi pingat emas.

Sementara itu Coloma menganggap pingat pertama yang dimenanginya itu selepas berusaha selama 13 tahun adalah umpama mimpi menjadi kenyataan.

“Saya sedar saingan di sini sangat sukar dengan penampilan pelumba terbaik dunia,” kata atlet berusia 34 tahun itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 9:15 AM