BARANG kes yang dirampasan pada Sidang Media Kejayaan Tangkapan Kes Samun dan Curi Motosikal Bahagian Siasatan Jenayah di Dewan D'Sury, IPD Ampang Jaya. FOTO Aswadi Alias
BARANG kes yang dirampasan pada Sidang Media Kejayaan Tangkapan Kes Samun dan Curi Motosikal Bahagian Siasatan Jenayah di Dewan D'Sury, IPD Ampang Jaya. FOTO Aswadi Alias
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan curi motosikal selepas menahan lapan lelaki menerusi Operasi (Op) Lejang dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Semua suspek berusia antara 24 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi bermula sejak 25 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua kumpulan ini masing-masing dikenali sebagai Geng Patah yang diketuai suspek yang dikenali sebagai Ya'patah dan Geng Ajib yang diketuai seorang lelaki dengan nama sebenar Muhammad Najib.

Menurutnya, kejayaan pertama adalah menumpaskan Geng Patah dalam operasi bermula 25 November lalu dengan menahan empat anggota geng dalam tangkapan sekitar daerah Gombak dan Sentul.

"Kita turut merampas tiga motosikal terdiri daripada dua Honda EX5, sebuah Yamaha LC135 serta satu rangka motosikal dan kesemua motosikal ini dilaporkan dicuri sebelum ini serta pelbagai komponen motosikal.

"Geng ini dipercayai aktif sejak tahun lalu semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing mendapati mereka juga positif dadah," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, kumpulan ini menyasarkan motosikal Honda EX5 yang diparkir kawasan flat dan kaki lima yang tiada pengawal keselamatan dengan cara mematahkan hendal motosikal serta kunci Allen.

"Satu lagi kumpulan curi motosikal yang berjaya ditumpaskan adalah Geng Ajib apabila empat anggota geng ini berusia antara 24 hingga 34 tahun yang ditahan menerusi Op Lejang bermula 29 November lalu.

"Semua mereka ditahan dalam serbuan berasingan dengan dua tangkapan di Gombak, manakala dua lagi suspek ditahan di Rantau dan Linggi, Negeri Sembilan," katanya.

Mohamad Farouk berkata, hasil tangkapan yang dilakukan polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha LC dan dua Yamaha 125ZR serta pelbagai komponen motosikal termasuk dua enjin motosikal.

Katanya, kumpulan ini aktif melakukan kegiatan curi motosikal di sekitar Ampang Jaya sejak tahun ini dan buat masa ini, empat kes terkait dengan kumpulan ini menyasarkan motosikal Yamaha 125ZR.

"Semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah.

"Siasatan membabitkan kedua-dua kumpulan curi motosikal ini masih diteruskan dan sedang mengesan saki baki anggota kumpulan yang masih bebas," katanya.

Mohamad Farouk berkata, kedua-dua kumpulan ini didapati mencuri motosikal untuk kegunaan sendiri selain menjual pelbagai komponen motosikal kepada rakan dikenali dan secara dalam talian.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 3:31 PM