PEMILIHAN sperma dan telur dilakukan dengan teliti.
PEMILIHAN sperma dan telur dilakukan dengan teliti.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Seperti negara lain, Iran juga nampaknya tidak terkecuali daripada masalah kesuburan. Kini semakin ramai pasangan muda menggunakan laman web bagi mencari maklumat dan mendapatkan rawatan kerana isu ini masih menjadi tabu dalam kalangan penduduk Iran.

Selepas bertahun-tahun berusaha mendapatkan anak kedua, Mohammed dan isteri akhirnya mengambil keputusan nekad yang sukar dengan mengunjungi klinik kesuburan di Tehran.

Mohammed, 45, yang berdebar menanti isterinya menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) mengakui dia sebenarnya bimbang jika perkara itu (mendapatkan rawatan di klinik kesuburan) diketahui keluarganya.

“Sesetengah orang tidak mahu mengaku mereka mendapatkan rawatan kerana pada kemudian hari mungkin ada ahli keluarga mengatakan sperma digunakan dalam proses ini bukan daripada suami dan anak yang bakal dilahirkan tidak berhak mewarisi apa-apa pun kerana dia tiada kaitan darah dengan ibu dan bapa,” katanya.

Bagaimanapun, dalam rawatan berkenaan, doktor menggunakan sperma Mohammed sendiri untuk disenyawakan dengan telur isterinya. Namun Mohammed masih bimbang keluarganya tidak akan percaya.

Perkara ini berlaku kepada sepupunya yang dilahirkan melalui rawatan IVF dan menjadi mangsa dalam perebutan harta pusaka dalam keluarganya.

“Inilah sebabnya ramai orang tidak mahu perkara ini (mendapatkan rawatan di pusat kesuburan) diketahui. Kami bimbang ia akan menimbulkan masalah satu hari nanti,” katanya.

Walaupun Iran menerima perubatan moden dengan tangan terbuka, malah sesetengah hospital mempunyai kemudahan paling canggih dan terkini di Timur Tengah, rawatan kesuburan masih menjadi satu isu yang amat sensitif.

Ia juga menjadi isu yang jarang dibincangkan secara terbuka selain mendapat pandangan berbeza daripada ahli agama.

Di Iran, menjadi satu kesalahan dan melanggar undang-undang jika menyuntik sperma lelaki lain (bukan suami) ke dalam rahim seseorang wanita.

Bagi pasangan yang mahu menggunakan telur daripada wanita lain, disarankan supaya si suami berkahwin ‘sementara’ dengan penderma telur berkenaan manakala perkahwinan itu boleh dibubarkan selepas bayi dilahirkan.

Bagaimanapun, ada pendapat lain yang lebih mengelirukan. Ada sesetengah pakar agama berkata, oleh kerana telur disenyawakan di dalam makmal (di luar rahim) - walaupun menggunakan sperma pihak ketiga ia dianggap sudah mempunyai identitinya sendiri dan oleh kerana itu, ia boleh dan tidak menjadi kesalahan untuk dipindahkan ke dalam rahim wanita.

Masalah tidak subur meningkat

Satu kajian dilakukan pada 2012 mendapati 20 peratus pasangan di Iran gagal mendapatkan anak selepas mencuba selama setahun. Angka ini lima hingga lapan peratus lebih tinggi berbanding purata global seperti yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dianggarkan tiga juta pasangan di Iran tidak berjaya mendapatkan anak, tetapi kemudahan IVF di negara itu hanya mampu menyediakan 40,000 rawatan setahun.

“Ketidaksuburan dalam kalangan lelaki juga meningkat dengan ketara,” kata Ketua Klinik Kesuburan Avicenna merangkap Presiden Persatuan Embriologi dan Biologi Reproduktif yang menjalankan kajian berkenaan, Mohammad Mehdi Akhoundi.

“Dalam tempoh 25 tahun kebelakangan ini kami sudah merawat banyak kes ketidaksuburan, kualiti sperma lelaki juga merosot mendadak dan kami juga melihat semakin banyak kes menopaus awal,” katanya.

Temu bual dengan dua ketua klinik kesuburan lain juga menyokong hasil kajian berkenaan.

“Kami tiada data tepat, tetapi kami melihat peningkatan masalah kesuburan dalam kalangan lelaki dan wanita,” kata ketua salah satu pusat IVF sebuah hospital swasta, yang meminta namanya dirahsiakan kerana ia isu yang sensitif.

Semua yang ditemu bual oleh wartawan AFP mengatakan pencemaran mungkin menjadi punca kepada peningkatan masalah ketidaksuburan di negara berkenaan.

Tehran yang mempunyai kira-kira lima juta kereta mengalami pencemaran yang teruk. Selain itu, kekurangan kemudahan pusat rawatan air, tabiat pemakanan tidak sihat dan asap kilang turut menyumbang kepada masalah itu, kata doktor.

Selain pandangan serong masyarakat dan isu agama, kemampuan kewangan juga menjadi topik perbincangan utama.

Malah di klinik Avicenna, pusat kesuburan awam, mengenakan bayaran 70 juta riyal (RM7,975) untuk satu kitaran rawatan. Jumlah ini bersamaan dengan lima bulan gaji pekerja biasa dan tiada jaminan rawatan itu akan berjaya serta berakhir dengan kehamilan.

Bagaimanapun, kedatangan pasangan yang mahu mendapatkan rawatan di klinik berkenaan meningkat 15 peratus setiap tahun menyebabkan pengarah pusat mengambil keputusan membina bangunan baru yang lebih besar.

Bercakap di lobi sejurus selepas rawatan IVF, Parisa yang berusia 28 tahun dan enggan memberikan nama penuhnya, sangat sebak apabila bercerita kesukaran dialaminya untuk mendapatkan anak dalam tempoh lima tahun lalu.

Namun peringkat paling sukar ialah meyakinkan suaminya yang malu kerana dia mengalami masalah kesuburan untuk mencuba IVF.

Parisa faham ego suaminya tercalar apabila doktor mengesahkan kegagalan mereka mendapat cahaya mata berpunca daripada dirinya.

Prosedur IVF yang pertama berjaya, tetapi janin dalam kandungan Parisa mati selepas kandungan mencecah tiga bulan. Kini doktor mengambil tiga lagi telur untuk disenyawakan.

“Kalau dapat kembar tiga, tentulah saya gembira sangat,” katanya sambil ketawa. Namun ketawanya itu disusuli dengan air mata.

“Macam-macam yang saya lalui, kini saya akan terima saja apa yang Tuhan bagi,” katanya perlahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:10 AM