PASANGAN dinilai terlebih dulu masalah kesuburan mereka sebelum pakar menentukan jenis rawatan.
PASANGAN dinilai terlebih dulu masalah kesuburan mereka sebelum pakar menentukan jenis rawatan.
YEE menunjukkan bagaimana analisis sperma dijalankan menggunakan komputer.
YEE menunjukkan bagaimana analisis sperma dijalankan menggunakan komputer.
Oleh Zaitie Satibi


Pasangan suami isteri dikatakan mengalami masalah kesuburan apabila masih tidak memperoleh zuriat dalam tempoh 12 bulan melakukan hubungan kelamin tanpa perlindungan (selepas setahun berkahwin), manakala enam bulan bagi isteri berusia bawah 35 tahun.

Ketidaksuburan juga merujuk kepada wanita yang sering mengalami keguguran dan tidak dapat meneruskan kandungan hingga bayi dilahirkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persatuan Ubatan Reproduktif Amerika (ASRM) dan Kolej Perbidanan dan Ginekologi Amerika (ACOG) juga mengenal pasti ketidaksuburan sebagai satu penyakit akibat sistem pembiakan lelaki dan wanita yang tidak berfungsi dengan normal. Di­anggarkan ketidaksuburan ini berlaku kepada satu pasangan bagi setiap tujuh pasangan suami isteri.

Oleh itu, masalah terbabit adalah perkara biasa yang sering dihadapi pasangan berusia antara 20 hingga 45 tahun. Malah, peluang seseorang wanita cuba untuk mengandung tanpa rawatan sewajarnya adalah rendah.

Sebanyak 85 peratus pasangan dengan tahap kesuburan normal akan memperoleh zuriat dalam tempoh setahun mencuba (usia wanita bawah 40 tahun).

Jika mereka tidak memperoleh zuriat dalam tempoh berkenaan (tahun pertama perkahwinan), peluang mendapat anak semakin rendah setiap bulan dan semakin tipis seiring dengan peningkatan usia isteri.

Bagi mendapatkan zuriat, ovum atau telur perlu disenyawakan dengan sperma dan ovum itu dilepaskan dari ovari dalam tempoh kesuburan yang berlaku sekali dalam sebulan iaitu antara 12 hingga 16 hari dari hari terakhir datang haid jika kitaran haid wanita berkenaan normal antara 28 hingga 30 hari.

Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Pakar Kesuburan, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr P Kannappan berkata, masalah kesuburan sebenarnya berlaku tidak kira jantina kerana statistik menunjukkan faktor lelaki dan wanita menyumbang kepada masalah kesuburan adalah sama.

“Dalam kalangan pasangan yang mempunyai masalah kesuburan, anggaran 40 hingga 50 peratus kes disebabkan suami, 40 peratus lagi disebabkan isteri, manakala 10 hingga 20 peratus lagi adalah kombinasi suami dan isteri.

“Bagi wanita, ketidaksuburan disebabkan sistem peranakan bermasalah seperti ovari tidak menghasilkan ovum ketika ovulasi disebabkan pelbagai punca.

“Antara puncanya, masalah ovari seperti menopaus awal, menghidap penyakit sindrom ovari Polisistik (PCOS), sakit kronik berpanjangan seperti diabetes, kanser atau kegagalan buah pinggang, kesan sampingan ubatan seperti kemoterapi atau pengambilan dadah dan masalah genetik.

“Malah, gangguan hormon menjejaskan ovulasi seperti terlalu banyak hormon prolactine yang dihasilkan kelenjar pituitari, terlalu banyak atau terlalu sedikit hormon thyroxine yang dihasilkan kelenjar tiroid, pertambahan atau kekura­ngan berat badan juga menjejaskan pengeluaran hormon,” katanya.

Menurutnya, masalah membabitkan tiub falopia, serviks dan rahim juga menyebabkan isteri sukar hamil antaranya menghidap endometriosis iaitu ketumbuhan selaput dinding rahim (endometrium) di luar rahim, jangkitan pada rahim dan tiub Fallopio.

Selain itu, katanya, penyakit radang pelvik (PID) disebabkan kuman klamidia, komplikasi pembedahan membabitkan tiub Fallopio, serviks dan rahim serta ketumbuhan fibroid dalam rahim juga menjadi punca sukar hamil.

Bagi lelaki pula, ketidaksuburan dikaitkan dengan penghasilan sperma tidak berkualiti dari segi kuantiti, pergerakan dan bentuk. Bagaimanapun, ada segelintir lelaki dilahirkan dengan buah zakar yang tidak dapat menghasilkan sperma sama sekali atau sperma dihasilkan sangat sedikit.

Namun, banyak faktor menjejaskan penghasilan sperma dan ketidaksuburan lelaki, termasuk kesan sampingan sesetengah ubatan, pengambilan dadah, gangguan hormon, ketumbuhan pada zakar dan komplikasi pembedahan di bahagian kemaluan.

“Penghasilan sperma juga boleh terjejas akibat jangkitan pada zakar oleh kuman daripada penyakit jangkitan seks. Malah, lelaki yang akil baligh dan terkena penyakit beguk juga berisiko mandul kerana kuman penyakit itu menyerang kilang sperma sehingga tiada langsung sperma dihasilkan.

“Selain itu, lelaki yang terdedah kepada bahan radioaktif atau kimia atau haba tinggi di tempat kerja, mengalami kecederaan di bahagian kemaluan akibat kemalangan atau bersukan juga berisiko me­ngalami ketidaksuburan.

“Bagaimanapun, ada juga lelaki subur tetapi tiada ereksi ketika melakukan hubungan kelamin disebabkan masalah saraf yang mungkin tercedera atau masalah psikologi, menyebabkan sperma tidak dapat dipancut keluar,” katanya.

Dr Kannapan berkata, amalan gaya hidup tidak sihat dan pe­ngambilan makanan tidak se­imbang serta berlebihan juga me­nyumbang kepada ketidaksuburan membabitkan lelaki dan wanita.

“Berat badan juga memainkan peranan dalam tahap kesuburan seseorang apabila berat yang berlebihan mengundang pelbagai penyakit yang menjejaskan penghasilan ovum dan sperma.

“Bagi lelaki obes, tahap kesuburannya merosot akibat hormon tidak seimbang, manakala wanita obes atau terlalu kurus pula berdepan masalah gangguan hormon sehingga jarang mengovulasi atau langsung tidak mengovulasi.

“Biasanya, selepas berkahwin, kira-kira 95 peratus isteri akan bertambah berat badan sebanyak lima hingga 20 kilogram (kg), manakala 70 peratus lelaki akan bertambah berat sebanyak lima kg.

“Selain itu, tekanan perasaan akibat bebanan kerja atau masalah lain serta merokok menyumbang kepada ketidaksuburan,” katanya.

Beliau berkata, pasangan baru berkahwin dan belum mendapat zuriat walaupun mencuba dalam tempoh enam bulan atau lebih, digalakkan menemui pakar kesuburan kerana pengesanan awal mampu merancang kaedah rawatan sebagaimana wajar diberikan.

Sementara itu, Pengurus Pusat Kesuburan SunMed, Yee Siew Yin berkata, pasangan yang mengalami ketidaksuburan kini berpeluang menimang cahaya mata dan seterusnya memulakan keluarga menerusi teknologi maju yang semakin berkembang dalam rawatan kesuburan.

Rawatan bermula dengan mencari punca masalah kesuburan membabitkan penilaian terhadap suami isteri sebelum memulakan kaedah rawatan yang bersesuaian dikenali Teknik Reproduksi Dibantu (ART). Suami terlebih dulu menjalani ujian air mani bagi me­nganalisis kualiti dan kuantiti spermanya.

“Sperma berkualiti diukur dari segi bilangan, pergerakan dan bentuk. WHO menurunkan tahap normal kesuburan lelaki apabila menanda aras kira-kira 32 peratus daripada 39 juta sperma bagi setiap satu mililiter (ml) bergerak aktif, dengan empat peratus daripadanya mempunyai rupa bentuk sempurna membabitkan bahagian kepala, leher dan ekor.

“Berbanding 15 tahun lalu, lelaki dikatakan subur apabila 50 peratus daripada 40 juta sperma bagi setiap satu ml bergerak aktif, dengan 15 peratus daripadanya sempurna sifat. Sperma tidak normal apabila didapati kepala terlalu besar atau kecil atau berkepala dua, manakala leher dan ekor pula terlalu panjang atau pendek.

“Pembedahan mengeluarkan sperma dijalankan jika wujud halangan yang mencegah sperma memancut secara normal disebabkan kecederaan atau jangkitan, kecacatan kongenital apabila suami dilahirkan tanpa vas deferens iaitu tiub yang menyalurkan sperma dari zakar, vasektomi dan zakar yang menghasilkan terlalu sedikit sperma sehingga tidak mampu mencapai tiub berkenaan.

“Kaedah rawatan kesuburan lain yang popular seperti persenyawaan invitro (IVF), permanian beradas (IUI) dan merancang kehamilan menerusi waktu subur seseorang,” katanya.

Menurutnya, rawatan kesuburan juga membabitkan suntikan sperma secara intra sitoplasmik (ICSI) iaitu sperma tunggal yang sihat disuntik ke dalam ovum meng­gunakan jarum halus disebabkan sperma berkenaan mengalami

kesukaran untuk menembusi ovum atau bilangan sperma yang sangat rendah.

“Menerusi penetasan dibantu laser (LAH) yang biasanya dikenakan kepada embrio yang mencapai tahap untuk membelah sebelum dipindahkan semula ke dalam rahim, bukaan kecil dibuat di lapisan luar embrio bagi membantu embrio dipecahkan keluar untuk meneruskan proses implantasi.

“Biopsi embrio dijalankan terhadap isteri berusia lebih 35 tahun kerana pada usia itu kehamilan mereka berisiko mengalami kromosom tidak normal dan penyakit genetik. Dalam proses ini, sampel sel diambil dari embrio untuk saringan genetik.

“Selain itu, pemindahan pengkulturan blastocyst iaitu embrio yang berbelah dalam tempoh lima hingga enam hari selepas disenyawakan juga dijalankan di pusat ini dan menerusi kaedah ini doktor dapat memilih embrio berkualiti yang dapat membuatkan wanita hamil kerana tidak semua embrio mampu mencapai tahap blastocyst dalam rahim atau di makmal,” katanya.

Pusat Kesuburan SunMed juga menyediakan bank sperma dan ovum yang melakukan penyimpanan secara pembekuan bagi membolehkan benih manusia itu digunakan pada masa depan untuk tujuan persenyawaan yang tidak dapat dilakukan ketika ini atas sebab tertentu.

Penyimpanan sel ovum belum matang dibekukan juga dilakukan bagi isteri yang didiagnosis de­ngan kanser tetapi belum menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi, isteri yang mempunyai sejarah keluarga menopaus awal dan isteri yang belum mahu hamil kerana komitmen kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:05 AM