HASSAN.
HASSAN.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Tutup aurat ini perkara wajib. Dalam apa keadaan pun, tiada alasan untuk nak kata tak wajib, sebab ia wajib. Jadi, siapa yang tidak menutup aurat itu, haram," kata pendakwah bebas juga juara Imam Muda musim kedua (IM2), Hassan Adli.

Hassan, 38, ketika dihubungi berkata, bagi wanita yang membuka tudung dengan alasan tidak mahu hipokrit dan nak menjadi diri sendiri, ia sama sekali tidak akan menggugurkan hukum wajib itu.

"Memakai tudung dan menutup aurat itu wajib. Tak ada alasan untuk tidak memakainya bagi wantta Islam. Sebagai contoh juga, solat lima waktu yang hukumnya wajib dilakukan.

"Jadi, kita tidak bolehlah kata, saya tak nak solat sebab tak ikhlas, tak nak solat sebab suka berjudi, tak nak solat sebab saya riak, pelbagai alasan itu tidak boleh diterima sebab hukumnya wajib. Tetap kena solat dalam apa jua keadaan dan tak alasan untuk kita tak nak buat," katanya kepada Harian Metro.

Hassan berkata, solat juga tidak akan gugur hukumnya sama seperti menutup aurat. Benda yang wajib itu tetap kena buat.

"Di sini, apa-apa situasi pun tak boleh kita kata hipokrit, tak hipokrit, riak, tak riak ke sebabnya, hukum tetap hukum, wajib tetap wajib," katanya.

Menurut Hassan, jadi seseorang wanita itu nak berhijrah menutup aurat, hijrahlah bersungguh-sungguh. Jangan dibuat sekerat jalan, sebab takutnya kita mempermainkan agama pula.

"Apapun, tudung ini kalau nak berfesyen tiada masalah. Dalam Islam, tak adalah sampai tak boleh ikut fesyen langsung. Masih boleh berfesyen, tinggal lagi jangan sampai melampau-lampau. Cukup sekadar berpada-pada.

"Maksudnya, selagi mana fesyen itu cukup syarat menutup aurat. Kemudian, tidak melampaui batas, pada saya ia okay lah.

Pada masa kini, didapati pemakaian tudung dalam kalangan segelintir wanita termasuk golongan selebriti umpama mengikut 'trend'.

Apabila mahu memakainya, mereka pakai. Kemudian apabila tidak mahu, ditanggalkan begitu saja dengan alasan tertentu seperti ingin menjadi diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 7:48 AM