Rio de Janeiro: Monica Puig (gambar) berharap kejayaannya di pentas Olimpik dengan meraih emas untuk Puerto Rico akan menjadi inspirasi buat wanita Amerika Latin lain, walaupun negara kepulauan itu lebih popular dengan sukan tinju dan besbol.

Kelmarin, Monica melakar sejarah apabila menewaskan juara Terbuka Australia dan pemain nombor dua dunia, Angelique Kerber 6-4, 4-6, 6-1 dalam acara perseorangan tenis wanita akhir.

Ia emas pertama buat bekas jajahan wilayah Amerika Syarikat itu sekali gus menambah pingat bagi kontingen negara kepulauan itu yang turut meraih dua perak dan enam gangsa.

Malah, dia juga atlet pertama wanita pertama menggenggam pingat berkenaan di temasya sukan terbesar dunia itu.

Tidak diletakkan sebarang harapan di Rio, kemenangan itu amat mengejutkan terutama selepas pemain di tangga ke-34 dunia itu terkandas beberapa kali pada pusingan pertama Terbuka Wimbledon dan Montreal sebelum ini.

“Saya amat bangga untuk mewakili Amerika Latin dan saya berharap ini boleh menjadi inspirasi kepada semua wanita Latin yang semuanya boleh dilakukan dalam hidup ini,” kata Monica.

Selepas kemenangan itu, dia mengakui agak sukar untuk menyanyikan lagu kebangsaan Puerto Rico biarpun ayahnya Jose menghantar lirik melalui emel sebelum majlis penyampaian pingat.

Walaupun dilahirkan di San Juan, Monica dibesarkan di Miami dan amat fasih dengan loghat Amerika berbanding tempat asalnya.

Secara tidak langsung, kemenangan Monica ini menyerlahkan kedudukan pulau Caribbean dalam peta dunia. Ia sebuah wilayah Amerika Syarikat, tetapi bukan sebuah negara.

Beliau juga secara teknikalnya bukanlah pemenang pingat emas pertama buat Puerto Rico.

Untuk rekod, Gigi Fernandez adalah pemenang pertama pingat emas acara beregu pada 1992 dan 1996 di mana dia juga dilahirkan di San Juan, namun memilih untuk beraksi buat Amerika Syarikat.

“Gigi mengucapkan tahniah kepada saya, dia inspirasi,” kata Monica.

“Sesiapa yang mendapat pingat adalah inspirasi. Tapi saya begitu gembira untuk menjadi wanita Puerto Rico yang pertama menang emas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:22 AM