FOTO ihsan JPAM
FOTO ihsan JPAM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuching: Seorang pelancong lelaki maut selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika menjalankan aktiviti mendaki di Taman Negara Bako, di sini, petang semalam.

Lelaki yang masih belum disahkan kewarganegaraannya itu ditemui seorang pendaki dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, lelaki berusia 30-an itu pada mulanya masih bernyawa dan di bawa kakitangan Taman Negara Bako ke terminal Kampung Bako untuk dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, ketika dalam perahu, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, untuk bedah siasat.

"Setakat ini polis masih belum dapat mengenal pasti kewarganegaraan lelaki terbabit kerana tiada sebarang dokumen pengenalan ditemui dan kami kini menunggu maklumat daripada Jabatan Imigresen Malaysia. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali lelaki terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-241 133," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 2:06 PM