BARISAN model Harley-Davidson terkini.
BARISAN model Harley-Davidson terkini.
Lizam Ridzuan

Buat peminat motosikal ‘easy rider’ tiga model baharu 2016 untuk pasaran tempatan baru-baru ini dilancarkan Naza Prestige Bikes Sdn Bhd pengimport tunggal sah jenama motosikal Harley-Davidson di Malaysia.

Model itu adalah Roadster, Softail Slim S dan CVO Pro Street Breakout ditawarkan bagi memberi lebih pilihan untuk memiliki jenama ikonik dari Amerika Syarikat itu.

Antara pembaharuan diterima ialah peningkatan kapasiti enjin, aksesori tambahan, rekaan pelana baru dan warna khas yang bukan sahaja lebih berprestasi, namun dalam masa yang sama tampil bergaya.

Model Roadster yang diperkenalkan hampir 60 tahun lalu, kini tampil dengan kapasiti enjin 1,200cc dilengkapi fork terbalik 43mm, brek cakera depan berkembar, posisi menunggang lebih agresif dan selesa, rim lima jejari aluminium dengan saiz 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang antara ciri terkini untuk model dalam barisan Sportster itu.

Elemen hijau dan hitam ciri terkini Softail Slim S dengan enjin sejukan udara 110 Twin Cam Screamin’ Eagle dan warna baru Olive Gold Denim, lampu hadapan klasik serta bergaya menjadikan ia kekal dengan imej ‘iron’ dan dalam masa sama berciri lebih moden.

Untuk CVO Pro Street Breakout pula, ia tampil gaya tersendiri serta memberi tunggangan lebih kuasa tork dengan ciri-ciri baharu termasuk warna lebih bergaya serta pelana dan bar pemegang baru untuk kepuasan menunggang.

Naib Presiden 1 Bersekutu Naza Prestige Bikes, Eskandar Esa berkata, Harley-Davidson Kuala Lumpur bukan sahaja menjual model baharu motosikal malah menumpukan kepada perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti untuk pengguna.

Walaupun menghadapi cabaran pengimport motosikal terpakai yang membawa masuk jenama Harley-Davidson ke dalam pasaran tempatan, namun mereka yakin dengan waranti dan khidmat selepas jualan yang ditawarkan sebagai satu kelebihan.

Harley-Davidson Kuala Lumpur juga menerima semua jenis motosikal jenama itu untuk servis dan penyelenggaraan di bengkel bagi mendapatkan alat ganti tulen serta mekanik bertauliah.

Selain jualan, pelbagai program dianjurkan sebagai aktiviti bulanan untuk mendekatkan jenama dengan pelanggan seperti konvoi, pameran dan jualan di pusat beli-belah atau karnival yang bersesuaian.

Harga jualan asas untuk model Roadster baharu RM110,000, Softail Slim S (RM160,000) dan CVO Pro Street Breakout (RM210,000).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:05 AM