AP

Rio De Janeiro: Michael Phelps (gambar) menunjukkan angka empat dengan jarinya apabila melakarkan pencapaian bersejarah dalam kariernya.

Kini, dia menjadi perenang pertama memenangi acara sama di empat temasya Olimpik berturut-turut.

Ryan Lochte pula tewas setiap kali bersaing dengan Phelps.

Ia satu pertarungan yang sengit membabitkan persaingan dua perenang terhebat Amerika, Phelps dan Lochte. Phelps memenangi empat emas di Rio dengan 22 pingat keseluruhan termasuk kejayaan 200m rampaian semalam.

Phelps yang mendominasi acara kuak dada dan gaya bebas sebelum ini, merekodkan catatan 1 minit 54.66 saat.

Dia meraih 13 emas dalam acara individu dan 26 pingat keseluruhan.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas dengan kejayaan ini. Ia sesuatu yang menakjubkan dalam karier saya,” katanya.

Sementara itu, pemenang pingat Olimpik sebanyak 12 kali, Lochte menamatkan aksi di kolam renang dengan dua perak dan gangsa sekali gus meneruskan badi apabila sekadar menamatkan saingan di belakang Phelps pada tiga Olimpik sebelum ini.

Namun dalam acara 200m rampaian, dia gagal untuk menjejakkan kaki di podium.

Mendahului saingan di pertengahan, Lochte menamatkan aksi di tempat kelima, tiga saat di belakang juara.

“Kami memberikan yang terbaik. Saya tidak berpuas hati dengan prestasi saya tapi saya gembira bagi pihak Phelps yang meraih emas dan berada dalam pasukan AS.” - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:10 AM