AFP

Rio de Janeiro: Atlet renang Amerika Syarikat (AS) Lilly King (gambar) meraikan kejayaan selepas menyekat perenang Russia Yulia Efimova daripada meraih pingat emas Olimpik ketika keganasan doping semakin buruk di Rio.

Legenda Michael Phelps dan beberapa lagi perenang turut menggesa supaya tindakan tegas dikenakan terhadap penyalahgunaan bahan terlarang.

Yulia yang berjaya dalam rayuannya di tribunal sukan dunia untuk memastikan tempat di Rio dan atlet China Sun Yang yang memenangi 200 meter gaya bebas kelmarin menjadi sasaran utama serangan itu.

Perenang berusia 24 tahun itu diejek ketika memasuki kawasan kolam renang dan menangis selepas tewas kepada Lilly dalam acara 100m kuak dada.

“Saya fikir kemenangan ini membuktikan anda boleh bersaing secara bersih tapi masih mampu menjadi juara,” kata Lilly.

Perenang Russia itu tidak dapat menahan air mata ketika berdepan wartawan.

“Saya pernah sekali melakukan kesilapan dan sudah menjalani hukuman,” katanya.

Dia digantung tahun ini selepas positif menggunakan meldonium namun hukuman itu ditarik balik Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan pada Mei lalu.

“Kes kedua bukan kesilapan saya. Saya tidak tahu bagaimana mahu membuatkan orang percaya. Jika yogurt dilarang dan anda didapati positif memakannya, adakah itu kesilapan anda?”

Susulan aduan Richard McLaren kepada Agensi Anti-Doping Dunia, Yulia dikenakan hukuman penggantungan sekali lagi. Aduan itu memberikan implikasi besar kepada kerajaan Russia mengenai doping. Namun, rayuan kali kedua kepada CAS minggu lalu membolehkan Yulia dan enam lagi perenang Russia ke Rio.

AS dan negara barat lain mahu semua atlet Russia diharamkan daripada menyertai Olimpik. Atlet AS menjadi suara paling lantang mengenai pencabar mereka dari Russia.

“Saya fikir Lilly betul, sesuatu perlu dilakukan.” ujar Phelps.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:05 AM