Sesekali melancong ke luar negara atau bercuti ke destinasi dalam negara bukan saja dapat merehatkan diri daripada kesibukan tugas, malah mencipta pengalaman berharga sebagai kenangan.

Namun, apabila tiba bab mengemas bagasi, ramai berdepan masalah apabila mahu kelihatan anggun dan bergaya ketika bercuti, pada masa sama tidak mahu terbeban dengan pakaian terlalu banyak untuk dibawa bersama.

Justeru, menerusi koleksi Deborah Henry x FashionValet: Laidback Luxe, ia merangkumi koleksi bersifat relaks sofistikated dan bakal membuat pengembaraan lebih selesa.

Inspirasi daripada kembara bekas Ratu Universe Malaysia 2007, Deborah Henry, koleksi ini merangkumi 13 rekaan bersama kemasan ropol dan rekaan lebih ringkas seperti baju yang menyerlahkan bahu, camisole, kemeja, gaun, gaun sarung juga seluar palazo dan seluar biasa.

Dengan pastel sebagai rona utama, rona biru asap, merah jambu lembut, hijau pudina dan jingga membentuk seluruh koleksi ini. Rona asas seperti putih, biru gelap dan hitam juga menambah sentuhan eksklusif buat rekaan kasual.

Deborah berkata, kolaborasi bersama FashionValet itu lahir daripada cintanya pada percutian dan pengembaraan ke tempat baru dengan menonjolkan cara berpakaian ketika bercuti atau mencari pengalaman baru secara bersahaja.

“Anda tidak perlu membuat pengorbanan untuk merasai dan kelihatan cantik menawan. Versatil menjadi teras koleksi ini, bersama rekaan yang boleh disuai padan untuk membuatkan setiap padanan tampak berbeza ketika bercuti tanpa membazir ruang di dalam bagasi.

“Sangat penting untuk kita mempelajari seni mengemas bagasi. Sebab itu koleksi ini sangat bersesuaian untuk anda yang mahukan percutian penuh bergaya,” katanya.

Koleksi yang dilancarkan baru-baru ini di butik FashionValet Pavilion oleh pengasas bersama dan Ketua Pegawai Kreatif FashionValet, Vivy Yusof dan Deborah.

Koleksi itu juga dilancarkan secara serentak di laman web dan butik fizikal di Bangsar Village 2 dan juga di Singapura.

Koleksi Deborah Henry x FashionValet : Laidback Luxe merangkumi rekaan bersaiz antara UK6 hingga UK16, dengan harga antara RM119 hingga RM299.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 10:29 AM