Rosenani dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM5,000 terhadap tuduhan mencuri tiga pek lampin pakai buang.
Rosenani dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM5,000 terhadap tuduhan mencuri tiga pek lampin pakai buang.
Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang suri rumah dikenakan bon berkelakuan baik oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam, selama dua tahun dengan jaminan RM5,000 atas pertuduhan mencuri tiga pek lampin pakai buang berjumlah RM92.70 di sebuah pasar raya, kelmarin.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Rosenani Wahab, 37, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut peruntukan Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah.

Nik Habri berharap keputusan itu dapat memberi pengajaran terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

“Kes macam ini wajib penjara, tapi jahat macam mana pun saya bagi peluang berdasarkan peruntukan yang ada.

“Tapi kalau berlaku lagi, maksudnya ini (mencuri) dah jadi tabiat kamu dan saya tidak akan bagi peluang,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Rosenani didakwa mencuri lampin pakai buang jenama Drypers di sebuah pasar raya di daerah ini, jam 2 petang, 9 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dilihat oleh pengawal keselamatan hanya membayar separuh daripada barangan yang diambil.

Pengawal keselamatan kemudian mengekori tertuduh sebelum menahannya.

Pemeriksaan terhadap resit pembayaran mendapati, tertuduh tidak membuat pembayaran terhadap tiga pek lampin pakai buang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 8:07 AM