MOTIF bunga pada anak tangga ini dilukis sendiri Raja Azhar.
MOTIF bunga pada anak tangga ini dilukis sendiri Raja Azhar.
SETIAP karya seni diletakkan pada ruang sesuai.
SETIAP karya seni diletakkan pada ruang sesuai.
TANGGA ke ruang tradisi berbentuk piano dan ada nota muzik.
TANGGA ke ruang tradisi berbentuk piano dan ada nota muzik.
RAJA Azhar memperincikan keunikan seni kaca di ruang solat itu.
RAJA Azhar memperincikan keunikan seni kaca di ruang solat itu.
RAJA AZHAR dan Shareena bersama dua cahaya mata mereka.
RAJA AZHAR dan Shareena bersama dua cahaya mata mereka.
Oleh Hartini Mohd Nawi

Menyimpan seribu satu kelainan dan keindahan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata antara perkara membezakan latar kediaman ini dengan idea dekorasi biasa.

Bayangkan setiap hasil seni pemiliknya menghiasi segenap sudut bersama penggayaan ruang yang diilhamkan daripada gerak hati sendiri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kediaman milik pelukis tersohor Raja Azhar Idris ini sarat dengan nilai estetika.

Terletak di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, banglo ini bukan sekadar kediaman tapi tempat Raja Azhar berkarya.

Menolak daun pintu gelungsur daripada kayu nyatoh dan merbau itu memulakan penerokaan pertama seni dekorasinya.

Berada di ruang pameran Istana Seni Art Case sudah cukup membuatkan sesiapa saja teruja dengan susun letak pelbagai karya seni di situ.

"Ketenangan, keselesaan dan privasi pastinya menjadi keutamaan sebaik kita berada dalam rumah.

"Sukar kita gambarkan jika suasana itu tercetus daripada penataan yang diilhamkan sendiri tanpa perlu meniru orang lain.

Melalui ruang itulah, keindahan dekorasi dari ruang lain mencuri pandangan dan tiada menafikan ia unik serta hebat.

Terpandang juga binaan tingkap kayu di tingkat atas yang berjeriji lurus bagaikan istana silam.

"Disebabkan binaan kediaman ini adalah idea peribadi, jadi setiap inci ruang meletakkan keadaan selesa dan tidak mahu 'terpenjara' dalam kediaman sendiri.

Dari jauh, latar ruang solat yang dihiasi lampu hiasan dan dekoratif karya seni kaca Raja Azhar memberi tarikan sendiri.

Setiap satu rekaan yang dihasilkan dalam bentuk bunga itu tertulis ayat-ayat zikir mengingati Allah.

Pantulan cahaya yang berbeza saban waktu daripada binaan ilham anak kelahiran Padang Indrawaty Beruas, Perak ini nyata luar biasa.

Selesa dengan nama Ruang Hijau, dekorasi di ruang makan tidak kurang menariknya apabila aura warna ketenangan itu menguasai latarnya.

Lampu hiasan hijau dari Itali, set meja dan kerusi makan unik selain karya-karya seni kaca turut melengkapkan ruang ini.

Percaturan idea menghias ruang di dapur juga menjadi pilihan Raja Azhar atau nama sebenarnya Raja Azhar Raja Lop Idris, 63.

Keterujaan melihat secara dekat jubin latar dinding ruang itu adalah seni bunga-bungaan hasil kreatif pelukis ini.

Susunan jubin serong pula ada kalanya mengubah pandangan setiap kali anda melihatnya.

Berada seketika di ruang tamu, terasa bagai diraikan dalam taman privasi sebaik melihat sebuah binaan semula jadi di depan mata.

Air kolam ikan berpancuran yang turun dari celahan batu-batuan itu membuatkan anda bukan berada di ruang tamu.

Pengalaman berbeza pula sebaik duduk di kerusi ruang tamu itu. Satu tarikan luar biasa jika kemasan lantainya bertatah dekoratif kaca ala refleksologi.

"Kami inginkan tetamu lebih selesa dan merasai pengalaman yang tidak dialami sebelum ini.

"Seni di ruang ini juga mengajak kita untuk menghayati khazanah estetikanya yang membawa seribu perlambangan," kata suami kepada Shareena Shahridan, 37 ini.

Segenap sudut tampil serba indah dengan dekoratif seni kaca pelbagai rekaan.

Melewati ruang keluarga atau Ruang Tradisi, lantai berlamina ini menarik perhatian apabila ia turut dilapisi keratan akhbar klasik dari luar negara.

"Tetamu, ahli keluarga dan saya sendiri pasti duduk seketika di lantai sambil menatap keratan akhbar yang 'tertanam' ini.

"Dari situasi itu, saya cukup gembira kerana idea susun letak itu nyata memanfaatkan.

"Inilah ruang paling privasi dalam rumah dan diiilhamkan dalam gaya tradisional dengan pemilihan warna bumi sebagai latar utama," katanya.

Terjemahan seni pengkarya ini tidak terhenti di situ kerana pada setiap anak tangga menuju ke tingkat atas dilukis Raja Azhar dalam motif bunga-bungaan.

Sekali pandang ia bagaikan anak tangga rumah Melaka yang sarat dengan perincian dan nilai estetikanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:18 AM