HIASAN ini bagaikan sebuah penceritaan.
HIASAN ini bagaikan sebuah penceritaan.
MENYERIKAN latar dinding dan sesuai untuk pelbagai konsep dekorasi.
MENYERIKAN latar dinding dan sesuai untuk pelbagai konsep dekorasi.
UBAH penampilan ruang yang biasa.
UBAH penampilan ruang yang biasa.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Dalam kemeriahan meraikan tetamu rumah terbuka Syawal, perhiasan yang unik dan menarik pasti menjadi perhatian.

Pinggan antara keperluan utama sajian dan menjamu selera. Jadi, cuba cetuskan idea dekorasi berbeza yang dilihat mempu­nyai kesinambungan dari segi kepelbagaian fungsinya.

Apatah lagi susun letaknya di bahagian ruang tamu dan ruang makan pasti menjadi tumpuan ramai.

Idea reka letak hiasan dwifungsi itu lebih memberikan tarikan jika kehadirannya menambahkan seri ruang.

Biasanya pinggan sering dilihat menghiasi ruang meja makan tapi kreativiti yang melangkaui kelaziman mengubah penampilan ruang secara keseluruhannya.

Ini kerana perhiasan itu apabila diletak pada dinding, ia mempelbagaikan paparan aksesori hiasan dengan aneka reka bentuk dan warna.

Beberapa abad lalu, perhiasan pinggan pada dinding bukan sekadar memperlihatkan adat dan kebudayaan yang tinggi malah perlambangan utama status kekayaan dan sosial masyarakat.

Hingga kini, gaya hiasan itu kian diterima pakai kerana sesuai untuk pelbagai konsep dekorasi dari klasik yang sarat dengan kepingan pinggan vintaj hingga reka bentuk ringkas untuk tata hias moden.

Letak saja di mana-mana sama ada ruang tamu, makan, dapur atau mandi sekali pun pastinya latar dinding yang menyerlah dengan warna dan corak unik pinggan menzahirkan gaya dekorasi luar biasa.

Lebih bermakna apabila perhiasan itu meleng­kapkan nilai estetika tersendiri bagaikan huraian dekoratif berdasarkan usia atau reka bentuknya.

Ternyata idea hiasan pinggan pada dinding turut memberi kebebasan kepada anda untuk menonjolkan kreativiti asalkan tidak mencacatkan konsep dekorasi pada ruang itu.

Di bilik tidur, idea susun letak pinggan kecil yang diselarikan dengan tiga pinggan besar antara dicadangkan.

Gaya susunan mengikut lengkungan kepala katil juga menarik diketengahkan selain pemilihan corak dan warna sesuai.

Bagi ruang tamu, susunan piring tidak kurang menariknya kerana ia tampil dalam reka bentuk kecil atau comel.

Kombinasi warna biru dan putih memberikan tarikan keindahan dekorasi tersendiri ditambah corak simetri yang unik berbanding latar dinding kosong.

Bagi mewujudkan titik tumpu ruang, dekoratif pinggan dalam kumpulan tertentu tidak kurang menariknya.

Gunakan penggantung khas pinggan atau cangkuk gambar yang banyak dijual di pasaran. Anda juga boleh menempah khas penggantung pinggan mengikut cita rasa atau konsep dekorasi.

Pada masa sama, rangka atau bingkai turut dijadikan pelengkap untuk menggantung pinggan sama ada menegak atau melintang.

Pinggan yang terlalu berat tidak sesuai sebagai penghias dinding dan elak terlalu banyak dekoratif pada dinding dalam satu ruang.

Bagaimanapun, usaha menyerlahkan dekoratif perlu mengambil kira ke­adaan latar dindingnya kerana dinding yang retak, calar atau mengalami perubahan warna boleh mencacatkan penampilan dekoratif itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:02 AM