Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang juga dikenali dengan nama English College (EC) ditubuhkan pada 21 Mac 1914 di Johor Bahru.

Pada awal penubuhannya, 21 pelajar terpilih dari Sekolah Bukit Zahrah ditempatkan di EC di bawah tunjuk ajar dua guru yang dibawa khas dari England, iaitu Morrison dan Holman.

Lokasi pertama sekolah ini berdekatan Istana Sungai Chat, berhadapan Pantai Lido sebelum berpindah ke lokasi sekarang pada akhir tahun 1930.

Pelajar terbabit boleh dianggap sebagai pengasas atau permulaan EC sebelum berkembang menjadi institusi pendidikan Inggeris di Johor Bahru.

Sistem pendidikan di EC berdasarkan kepada sukatan mata pelajaran yang diamalkan British. EC kemudian menjadi model dan medium kepada beberapa sekolah Inggeris selepas itu di sekitar Johor.

Sekolah itu pada permulaannya membawa guru import daripada Eropah dengan jumlah yang tidak ramai. Kemudian pentadbiran EC melatih guru tempatan untuk mengajar beberapa subjek berkaitan adat istiadat orang Melayu.

Pada tahun 1960, nama EC ditukar selepas tamatnya pemerintahan British di Tanah Melayu kepada MSAB mengambil nama Bapa Pembangunan Johor, Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim yang memodenisasikan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Setahun kemudian, lencana dan pakaian seragam sekolah itu diperkenalkan pada kali pertama.

Pada 5 Mei 2009, MSAB secara rasminya dipilih Kementerian Pendidikan sebagai sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 12:19 PM