NORA
NORA
Syafil Syazwan Jefri


Lagu Di Persimpangan Dilema, Menyemai Cinta Bersamamu dan Hanya Satu dendangannya pernah menjadi siulan peminat satu ketika dahulu. Terbaru, Nora bakal menggegarkan pentas Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) di samping 11 peserta lain.

Berbeza dengan zaman awal kemunculannya sebagai penyanyi, Nora mengakui media sosial mampu memberi impak besar kepada karier artis seperti yang berlaku pada hari ini.

Justeru, dia sudah bersedia berhadapan komen daripada juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim serta pengikut di media sosial.

“Zaman saya dulu dan sekarang jauh berbeza. Kini, kredibiliti artis lebih diukur berdasarkan jumlah pengikut di media sosial seperti Instagram dan sebagainya.

“Kalau zaman saya dulu, minimum album yang terjual adalah sekitar 50,000 salinan dan itu jadi ukuran. Namun, saya tidak mahu mempersoalkan perubahan ini dan akur dengan peredaran zaman.

“Dengan penyertaan saya dalam program GV3, diharap penonton berseronok dan mungkin sedikit sebanyak kehadiran saya serta rakan lain akan mengubat kerinduan peminat,” katanya.

Menurut Nora ketika ditemui di majlis sidang media dan pengumuman 12 peserta GV3 yang berlangsung baru-baru ini, dia melakukan persediaan rapi untuk pertandingan itu.

“Ramai kurang bersetuju apabila saya ingin menyertai GV3. Kata mereka, kalau kalah nanti akan menjatuhkan kredibiliti saya sebagai penyanyi. Bagi saya, GV3 membuka peluang kepada saya untuk mencuba nasib sekali lagi dan kalau ada rezeki mungkin kehadiran saya akan diterima baik.

“Berdepan dengan kritikan pedas juri, saya sudah bersiap sedia. Lagipun, sejak musim pertama lagi konsep pertandingan ini akan diadili dan setiap peserta akan mendengar kritikan juri tetap,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap kritikan yang dilontarkan itu pastinya bernas dan dapat memberi idea kepada peserta supaya memperbaiki kekurangan diri serta persembahan.

“Insya-Allah saya akan terbuka menerima kritikan juri profesional. Walaupun sudah lama menyanyi, tidak semestinya kita sentiasa betul dan komen juri dapat membimbing kita.

“Soal komen penonton di media sosial pula, sudah tentu saya tidak dapat memuaskan hati semua orang. Normal jika ada yang suka dan sebaliknya, jadi tugas saya sebagai peserta adalah memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Ditanya sama ada GV3 membuatkannya gementar untuk beraksi, Nora mengakui perkara itu dan menjelaskan ada beberapa cabaran baru buatnya sebagai peserta.

“Semestinya saya gementar kerana ini satu pertandingan dan banyak mata memandang. Cabaran paling besar adalah peserta perlu mempersembakan pelbagai genre lagu,” kata Nora.

Nora yang kini menyanyikan lagu ketuhanan yakin dengan adanya kreativiti, dia mampu mencorak persembahan tanpa melepasi batasan ditetapkan.

“Awal-awal lagi saya sudah berbincang dengan pihak Astro supaya persembahan saya tidak melangkau batasan. Tapi saya yakin, apa yang penting adalah kreativiti.

“Contohnya kalau perlu menya­nyikan lagu rancak seperti rock atau dangdut, masih ada beberapa cara lain untuk menampilkan aura genre itu,” katanya.

Terbaru, Nora melancarkan single Anugerah beberapa bulan lalu.

“Insya-Allah, selepas selesai GV3 saya akan melancarkan video muzik lagu Anugerah ciptaan Omar. Apa yang dapat saya katakan, video muzik ini ada kelainan dan lebih moden berbanding lagu sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 11:55 AM