TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Saddam Yusoff
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Saddam Yusoff
Hayati Ibrahim


Bangkok: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Bangkok, Thailand untuk memulakan lawatan kerja selama dua hari bermula hari ini.

Beliau yang tiba kira-kira jam 4 petang (waktu Thailand) diiringi pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muaeng disambut Duta Malaysia di Thailand, Datuk Nazirah Hussain dan pegawai kedutaan.

Ahmad Zahid kemudian dibawa ke hotel penginapan untuk menghadiri mesyuarat pra majlis yang turut dihadiri Nazirah; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, lawatan kerja ini akan menyumbang kepada pengukuhan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand.

"Ia merangkumi pelbagai bidang terutama bidang keselamatan, perdagangan dan pelaburan serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara untuk kebaikan bersama,"katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan serta Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 5:32 PM