PENGUNJUNG boleh bersantai di beranda chalet sambil menikmati pemandangan Sungai Bil.
PENGUNJUNG boleh bersantai di beranda chalet sambil menikmati pemandangan Sungai Bil.

Pembinaan chalet tradisional ala kediaman masyarakat Orang Asli yang berbumbungkan daun dan berdindingkan kulit pokok bertam serta bertiangkan buluh di tebing Sungai Bil, Slim River, Perak memang unik dan menjadi antara tempat perlu dikunjungi terutama bagi golongan pencinta alam yang sukakan keindahan flora dan fauna.

Terletak di kaki Banjaran Titiwangsa, kawasan ini terkenal sejak dahulu kerana memiliki kawasan air terjun dan jeram yang sering dikunjungi pelancong dalam serta luar negara terutama pada musim cuti.

Chalet ini menggunakan hasil hutan iaitu pokok bertam dan buluh sebagai binaan utama. Tiang dan alangnya menggunakan buluh bersaiz besar bagi menguatkan struktur binaan setiap chalet yang boleh memuatkan kira-kira lima orang .

Bahagian dinding pula menggunakan daun dan kulit pokok bertam yang dianyam secara tradisional masyarakat Orang Asli menyebabkan udara terasa nyaman ketika berada di dalam chalet.

Tingkap dan pelantar santai yang dibina di luar chalet menghadap sungai boleh dijadikan sebagai tempat pengunjung berehat sambil menikmati kejernihan air sungai yang mengalir laju sambil menghayati panorama indah dan udara nyaman.

Ketika menyeberangi sungai menggunakan jambatan ke chalet, kelihatan replika basikal lama diletakkan di tepinya sebagai dekorasi menjadikan kunjungan lebih menarik.

Di bahagian luar chalet pula disediakan kerusi dan meja untuk pengunjung berehat atau bersantai dan bagi mereka yang mengunjungi secara kumpulan, wakaf yang dibina pasti menjadi tumpuan.

Lantainya pula menggunakan buluh yang disusun rapi dengan bahagian atas dilapik dengan tikar bagi memastikan pengunjung selesa bermalam di chalet sambil menikmati pengalaman cara kehidupan tradisional masyarakat Orang Asli.

Walaupun chalet dibina menggunakan pokok hutan, pengunjung tidak perlu risau kerana struktur binaan tradisional ini cukup kukuh. Kira-kira 4,000 batang buluh tua bersaiz besar digunakan.

Surau turut disediakan untuk kemudahan pengunjung beribadat manakala binaan simenfero untuk pejalan kaki di sekitar chalet memudahkan pengunjung bersiar dan bergerak.

Untuk menikmati kesejukan air gunung yang mengalir di sungai itu, pengunjung hanya perlu menuruni tebing chalet. Sebaik mencecahkan kaki ke air terus terasa kesejukan semula jadi, apatah iagi ia dikelilingi bongkah batu sungai.

Pengunjung boleh merasai kehidupan malam di kawasan hutan sambil ditemani bunyian unggas dan deruan air terjun mengalir deras. Pastinya segala kepenatan bekerja hilang seketika ditelan kegelapan malam.

Kos untuk bermalam cukup munasabah berbanding pengalaman bakal dilalui pengunjung sepanjang berada di chalet ini yang menjanjikan kenangan yang sukar dilupakan.

Pengunjung yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dari arah utara dan selatan perlu memasuki susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim. Apabila melewati plaza tol, belok ke kiri menuju ke kilang Proton. Jarak dari kilang itu menuju ke chalet itu hanya kira-kira lima kilometer. - Rosman Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 5:40 AM