SUNGAI yang terletak berhampiran chalet menjadi antara tarikan di sini.
SUNGAI yang terletak berhampiran chalet menjadi antara tarikan di sini.
Ummi Kalsom Mustafar


MENENANGKAN. Demikian satu perkataan yang boleh penulis gambarkan mengenai percutian bersama keluarga dan rakan guru di Chalet Kampung Orang Asli Beswok, Sungai Siput, Perak baru-baru ini.

Keunikan lokasi percutian ini ialah apabila pengunjung berpeluang tinggal di dalam chalet yang dibina menggunakan buluh.

Lebih menarik, ia terletak bersebelahan dengan sungai yang sangat sesuai untuk mandi-manda sambil menikmati keindahan alam.

Penulis bersama keluarga memulakan perjalanan dari kediaman di Sungai Jawi, Pulau Pinang seawal 9.30 pagi membabitkan perjalanan sejauh 174 kilometer.

Selepas berhenti rehat dan menunaikan solat Zuhur di Masjid Bawong Sungai Siput, kami meneruskan perjalanan dan selamat tiba di destinasi pada 2.30 petang.

Sebaik tiba, masing-masing teruja melihat keunikan seni bina chalet yang diperbuat daripada buluh.

Suasana persekitarannya sangat sejuk bagaikan berada di Cameron Highlands. Jadi tidak hairanlah, tiada satu kipas pun disediakan di dalam chalet itu.

Penulis difahamkan setiap chalet dibina dan diuruskan sebuah keluarga Orang Asli yang tinggal di kampung terbabit sebagai sumber pendapatan. Oleh itu seni bina dan hiasan dalaman setiap chalet adalah berbeza.

MENGABADIKAN kenangan bercuti di Kampung Orang Asli Beswok.
MENGABADIKAN kenangan bercuti di Kampung Orang Asli Beswok.

Pengunjung tidak perlu bimbang kerana jalan untuk ke kawasan ini boleh dilalui kenderaan biasa.

Bagi yang ingin lari daripada media sosial, ini adalah tempat sesuai kerana tiada liputan Internet. Pengunjung juga dapat lari seketika daripada kesibukan kerja dan dunia luar dengan dihiburkan bunyi kicauan burung serta deruan sungai yang sungguh mendamaikan.

Selesai proses mendaftar masuk, kami mula menyediakan hidangan minum petang yang ringkas. Bayangkan, anda menghirup secawan teh O panas dan mengunyah karipap di tebing sungai yang cantik serta sejuk. Sungguh menyamankan.

Sedikit pengisian untuk anak anak kecil, pertandingan mewarna sempena Maulidur Rasul turut diadakan sebelum aktiviti yang ditunggu tunggu, iaitu mandi sungai. Paras sungai cetek dan arus yang perlahan amat sesuai untuk kanak-kanak.

CHALET yang selesa untuk pengunjung.
CHALET yang selesa untuk pengunjung.

Penulis sangat menyukai bangsal memasak buluh yang sangat luas dan selesa. Kedudukannya yang menghadap sungai, membolehkan pengunjung yang memasak sambil menjamu mata melihat sungai mengalir.

Usai makan malam dan barbeku, mata mula terasa berat. Masing-masing kembali ke chalet untuk merebahkan badan yang sudah penat bertemankan bunyi deruan sungai yang memecah keheningan malam.

Masuk hari kedua, seawal 6 pagi, kami sudah bangun untuk menunaikan solat Subuh berjemaah dan menyediakan sarapan. Anak-anak menyambung aktiviti mandi sungai sementara menunggu sarapan disediakan.

Selesai sarapan, kami dibawa ke sebuah air terjun yang cantik. Laluannya landai dan sesuai untuk semua peringkat umur.

MERENTAS hutan ke air terjun.
MERENTAS hutan ke air terjun.

Trek perjalanan melalui kebun pokok koko yang diusahakan Orang Asli di situ. Penulis mengambil peluang menerangkan mengenai pokok koko itu kepada anak-anak memandangkan mereka tidak pernah melihat pokok dan buah itu sebelum ini.

Lebih kurang 15 minit perjalanan, kami tiba di kawasan air terjun itu. Semua ahli rombongan mengambil peluang bermandi manda dan mengabadikan gambar di bawah air terjun.

Selesai mandi, badan terasa lebih segar dan ringan. Penulis pernah terbaca satu artikel yang mengatakan mandi atau berendam dalam air sejuk seperti air terjun ini baik untuk tekanan darah.

Air sejuk dikatakan dapat mengecutkan pembuluh darah seterusnya darah akan cepat mengalir kepada organ-organ di dalam badan dan pada masa sama dapat menyingkirkan toksin serta menyebarkan nutrien dengan lebih efektif.

PENGUNJUNG berpeluang menyejukkan badan di air terjun.
PENGUNJUNG berpeluang menyejukkan badan di air terjun.

Selepas hampir sejam di situ, kami mula pulang ke kawasan penginapan dan menyediakan makan tengah hari. Selepas mengisi perut yang kelaparan, kami mengemas barangan dan membuat pendaftaran keluar dari chalet sebelum bergerak pulang.

Berakhirlah percutian selama dua hari satu malam yang amat memberi kepuasan dan kerehatan minda.

Ia ibarat satu slot anda 'recharge' kembali badan yang kepenatan bergelumang dengan kerja. Terasa mahu saja memanjangkan lagi tempoh percutian ini namun apakan daya tugas sudah memanggil-manggil. Penulis kembali ke Pulau Pinang dengan niat akan berkunjung lagi ke tempat seperti ini pada masa akan datang.

DIKELILINGI alam semula jadi.
DIKELILINGI alam semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 6:30 AM