AKTIVITI berkhemah di tepi Sungai Tembeling.
AKTIVITI berkhemah di tepi Sungai Tembeling.
Hafiz Ithnin


BERKELUASAN kira-kira 4,343 kilometer persegi, Taman Negara Pahang di Kuala Tahan mempunyai keindahan alam semula jadi hutan hujan tropikanya yang tersendiri.

Dianggarkan berusia 130 juta tahun, taman negara itu antara lokasi terbaik bagi mereka yang gemarkan konsep ekopelancongan.

Justeru, pengembara tempatan, Zulkilfli Mohamed yang mengimbau kembali pengalamannya ke destinasi itu berkongsi beberapa perkara yang boleh dilakukan jika anda mempunyai peluang ke sana kelak.

Zulkifli berkata, Taman Negara Pahang adalah destinasi yang dikawal selia Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sekali gus memerlukan pengunjung mendapatkan permit untuk menerokai pelbagai keunikan dunia yang tersembunyi di dalamnya.

Jelasnya, bagi memudahkan perjalanan pengembaraan dia menggunakan khidmat ejen pelancongan yang berpengalaman dengan bayaran cukup berbaloi.

ZULKIFLI bergambar dengan pokok tualang bersaiz gergasi.
ZULKIFLI bergambar dengan pokok tualang bersaiz gergasi.

"Walaupun saya gemar mengembara ke pelbagai destinasi termasuk di luar negara, bagi saya Taman Negara Pahang adalah dunia hijau yang penuh inklusif. Lokasinya juga tidak jauh dari Kuala Lumpur iaitu hanya empat jam pemanduan.

"Saya menerokai khazanah tarikan pelancongan Malaysia itu selama empat hari tiga malam bersama rakan. Seakan-akan tidak berasa puas kerana begitu tenang selain jauh dari kesesakan bandar ditambah dengan suasananya semula jadi," katanya.

Zulkifli berkata, dia juga melihat Taman Negara Pahang adalah destinasi terbaik bagi mereka yang gemar merakam imej dari kanta lensa.

Selain itu, jelasnya, sebagai pengunjung dia juga dapat mendekati Orang Asli yang tinggal dalam Taman Negara Pahang dan secara tidak langsung mengetahui cara kehidupan dan budaya masyarakat itu.

"Di sini, bagi mereka yang gemar berkhemah terdapat pemain industri pelancongan yang menyediakan kemudahan itu dan ia lebih menarik untuk menikmati suasana alam semula jadi.

"Selain itu, saya juga melihat Taman Negara Pahang bukan sahaja kaya dengan alam hijau yang eksotik, tetapi jika bernasib baik kerana dapat melihat pelbagai hidupan liar," katanya.

BUMBUN untuk mengintip haiwan liar pada waktu malam.
BUMBUN untuk mengintip haiwan liar pada waktu malam.

Baginya, Taman Negara Pahang bukan sekadar dunia yang menarik untuk diterokai penggemar aktiviti lasak, tetapi sesuai juga buat seisi keluarga. Ia secara tidak langsung memberi pendidikan kepada kanak-kanak untuk menghargai alam semula jadi dan melestarikannya.

Justeru, Zulkifli kongsikan beberapa aktiviti yang dilakukannya sepanjang berada di Taman Negara Pahang.

1. Berjalan di titian silara

Jambatan gantung sepanjang 550 meter dengan 40 meter ketinggian itu sudah semestinya memberi peluang untuk Zulkifli melihat lebih dekat pelbagai jenis pokok berusia ratusan tahun.

Titian silara itu juga antara terpanjang di dunia dan sebagai pengunjung dia dapat merasai pengalaman berjalan atas rimbunan pokok yang tinggi.

Selain itu, dengan menggunakan khidmat penunjuk arah yang berpengalaman, dia bersama rakan-rakan dapat mengetahui sejarah kewujudan titian silara itu yang pada asalnya untuk digunakan oleh pengkaji.

Uniknya, titian silara itu dibina tidak menggunakan sebarang paku dan memotong pokok di sepanjang laluannya demi memastikan khazanah alam itu tidak dirosakkan.

2. Lata Berkoh

Zulkifli juga berpeluang mengunjungi destinasi huluan sungai yang masih dara untuk menikmati kesejukan air sungai di Lata Berkoh. Untuk ke sana, dia perlu menaiki bot dari Jeti Taman Negara Kuala Tahan dan menyusuri Sungai Pahang.

Menariknya, Lata Berkoh bukan sahaja menarik untuk aktiviti bermandi-manda sambil merasai kesejukan airnya, tetapi panorama di sekeliling destinasi itu seakan-akan berbumbung serba hijau amat memukau pandangan.

Dia juga bernasib baik dapat menikmati keindahan pelbagai ikan liar melompat di lubuk berkenaan.

3. Santuari kelah di Lubuk Tenor

Di Lubuk Tenor terdapatnya santuari kelah yang diwujudkan pihak berkuasa bagi memastikan ikan bernilai tinggi itu mampu hidup tanpa terancam.

MEMANCING secara tradisional menggunakan botol.
MEMANCING secara tradisional menggunakan botol.

Zulkifli mengakui teruja melihat ikan kelah yang begitu banyak di santuari berkenaan dan jinak.

Jelasnya, jika membawa kanak-kanak amat sesuai ke destinasi ini kerana mereka boleh mendekati dan bermain dengan ikan liar yang seakan-akan sudah jinak dengan pengunjung.

4. Berjalan malam safari

Jika ke Taman Negara, bagi Zulkifli dia sedikit pun tidak bosan kerana pengisian aktiviti bukan sahaja terhad sebelum matahari berlabuh.

Ia kerana terdapat aktiviti berjalan malam safari untuk melihat pelbagai jenis haiwan liar yang aktif pada sebelah malam.

Zulkifli berkata, terdapat kemudahan bumbun yang disediakan untuk pengunjung 'mengintip' pelbagai jenis haiwan liar seperti gajah, rusa, kijang dan kucing hutan.

Katanya, aktiviti yang ditemani penunjuk arah berpengalaman untuk aktiviti selama dua jam itu bagaikan tidak terasa.

5. Rapid Shooting

Rapid Shooting adalah aktiviti menaiki bot kayu panjang yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan di Sungai Ulu Tembeling.

KANAK-kanak menikmati pemandangan indah di sungai.
KANAK-kanak menikmati pemandangan indah di sungai.

Zulkifli berkata, aktiviti ini juga wajib untuk dilakukan pengunjung yang bertandang ke Taman Negara Pahang kerana dengan menyelusuri Sungai Ulu Tembeling, mereka dapat melihat pelbagai aktiviti penduduk setempat yang terdiri daripada Orang Asli dan kehijauan panoramanya.

6. Menyantuni Orang Asli

Di Taman Negara Pahang sudah semestinya terdapat Orang Asli dan di sini terdapat aktiviti yang membolehkan pengunjung mendekati mereka.

Zulkifli berkata, menariknya ketika menyantuni perkampungan Orang Asli itu dia dapat mempelajari aktiviti memburu secara tradisional.

AKTIVITI menyalakan api secara tradisional oleh masyarakat Orang Asli.
AKTIVITI menyalakan api secara tradisional oleh masyarakat Orang Asli.

Tidak sekadar itu, keunikan budaya yang masih utuh dalam kalangan Orang Asli memberi pengalaman baharu kepadanya untuk menikmati kepelbagaian masyarakat di Malaysia terutama di luar bandar.

7. Menangkap ikan

secara tradisional Zulkifli juga dibawa ejen pelancongan untuk merasai sendiri pengalaman menangkap ikan di Sungai Tembeling secara tradisional menggunakan botol.

Dalam aktiviti itu, dia melihat kegiatan seperti itu boleh memberi tarikan kepada pengunjung yang mempunyai anak-anak kecil untuk merasai sendiri pengalaman yang tiada di bandar.

Ikan yang tersangkut dalam botol itu juga dilepaskan kembali ke sungai untuk memastikan kelestarian hidupan air di Sungai Tembeling.

8. Menikmati keindahan bintang

Sebagai peminat fotografi, Zulkifli juga berasakan aktiviti yang menarik untuk dilakukan bagi golongan kaki lensa pastinya 'menembak' taburan bintang.

Katanya, dalam kegelapan di hutan itu, keindahan bintang yang berserakan jelas kelihatan dan memberi ketenangan bersama rakan-rakan yang gemarkan keindahan berkenaan.

9. Mendaki Bukit Terasek

Destinasi itu antara aktiviti pendakian mini yang boleh dilakukan untuk mereka yang gemarkan kegiatan mendaki sambil memburu pemandangan indah.

Perjalanan melalui pelbagai bentuk muka bumi sejauh 1.7 kilometer bagi Zulkifli amat berbaloi kerana dia dapat melihat panorama Gunung Tahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 7:00 AM