Chalet Siti Aminah di Salak Denai memiliki seni bina unik ala suasana kampung lengkap dengan kolam renang persendirian.
Chalet Siti Aminah di Salak Denai memiliki seni bina unik ala suasana kampung lengkap dengan kolam renang persendirian.
Oleh Nur Syazwana Mansor


Berkelah di hutan lipur sambil mandi-manda di kawasan air terjun mendinginkan yang mengalir dari gunung dengan ditemani suara kicauan burung di sekeliling pasti menjadi dambaan setiap orang yang ingin menikmati percutian berasaskan keindahan alam semula jadi.

Namun, suasana percutian diidamkan mungkin hambar sekiranya kawasan perkelahan dikunjungi sesak dengan kehadiran pelancong lain sehingga terpaksa berebut-rebut bagi mendapatkan sudut terbaik untuk berkelah.

Jemu dengan suasana percutian sedemikian, penulis menghubungi Pengurus Chalet Salak Denai, Yan, Kedah iaitu Nur Hidayah Yusuff, 29, untuk membuat temu janji sebelum meninjau ke kawasan chalet yang terkenal dengan ciri percutian bajet dan privasi untuk seisi keluarga.

Keadaan itu disebabkan pengurusan chalet berkenaan amat mementingkan privasi pelanggan dan hanya akan membenarkan kunjungan dibuat sepanjang ketiadaan pelancong.

Terletak berhampiran kawasan air terjun Batu Hampar dan Titi Hayun, Salak Denai bukan satu destinasi percutian mewah yang dilengkapi dengan infrastruktur bertaraf lima bintang, namun pengunjung dijamin berpuas hati sekiranya memilih untuk bercuti di chalet berkenaan.

Lokasinya juga strategik kerana berhampiran beberapa kawasan pelancongan di daerah Yan seperti Titi Hayun, Batu Hampar, Pantai Murni dan Tanjung Dawai, selain kemudahan chalet berkenaan juga unik kerana berkonsepkan satu chalet satu kolam renang.

Pengujung dapat menikmati kesejukan air terjun semula jadi ketika mandi di kolam berkenaan kerana air yang disalurkan datang dari air terjun Batu Hampar dan akan ditukar dengan air lain setiap kali ada pengunjung baru.

Lebih menarik apabila setiap kolam renang juga mempunyai papan gelongsor yang akan menjadikan aktiviti mandi-manda seisi keluarga menjadi lebih menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak.

Keadaan itu juga dilihat lebih selamat jika dibandingkan dengan kawasan air terjun sebenar yang mungkin menyebabkan pengunjung terdedah kepada bahaya seperti keadaan batu yang licin atau arus deras apabila hujan lebat.

Mula dibuka kepada orang ramai sejak Julai 2004, Chalet Salak Denai yang dahulunya dibina sekadar memenuhi hobi pemiliknya kini menjadi salah satu destinasi percutian pilihan pelancong dari serata negeri kerana konsep inap desa 'satu chalet, satu kolam renang' yang cuba diketengahkan berjaya menarik minat ramai pengunjung.

Hidayah yang juga anak kedua kepada pemilik dan pengasas Chalet Salak Denai iaitu Yusuff Ali, 65, berkata, pada awalnya chalet berkenaan dibina bukan sebab untuk perniagaan, tetapi sekadar tempat keluarganya beristirahat pada hujung minggu.

Katanya, bapanya membina chalet lengkap dengan kolam renang kira-kira 12 tahun lalu hanya untuk kegunaan ahli keluarga kerana mempunyai sebidang tanah seluas 0.61 hektar yang terletak berhampiran kawasan air terjun Batu Hampar.

"Selepas bersara sebagai warden Penjara Alor Setar pada usia 45 tahun, ayah mengisi waktu lapangnya dengan membina sendiri chalet, di sini, sebagai tempat untuk kami sekeluarga berehat pada hujung minggu.

"Namun, selepas kami mengadakan majlis perkahwinan kakak di sini, ramai tetamu yang hadir mula memberi cadangan supaya ayah menjadikannya sebagai inap desa dan membina lebih banyak chalet yang lengkap dengan kolam renang persendirian.

"Sejak itu, ayah membina empat chalet lagi yang terdiri daripada pelbagai keluasan dan masing-masing mempunyai kolam renang persendirian," katanya.

Katanya, jiwa seni yang ada dalam diri bapanya cuba diluahkan pada setiap struktur chalet berkenaan. Jadi tidak hairan jika pengunjung dapat melihat beberapa seni bina yang unik pada binaan yang dibina sendiri dengan bantuan seorang rakannya.

Sementara itu, Hidayah berkata, dari segi harga ia dikira berdasarkan harga sebuah chalet dan bilangan hari tanpa mengira bilangan pengunjung yang datang.

"Selagi muat dan selesa, pengunjung boleh membawa seberapa ramai ahli keluarga untuk menginap di chalet ini tanpa dikenakan sebarang bayaran tambahan," katanya.

Selain itu, pihaknya turut menyediakan ruang dapur lengkap dengan peralatan memasak dan tempat untuk berbeku di mana pengunjung hanya perlu membawa bahan mentah sahaja sekiranya ingin memasak atau memanggang di situ.

Bagaimanapun, pemilik Chalet Salak Denai itu berkata, dia enggan menguar-uarkan mengenai inap desar berkenaan secara meluas kerana bimbang tidak dapat menampung tempahan memandangkan terdapat lima chalet sahaja.

Lebih mengejutkan, penulis juga dimaklumkan sudah tiada kekosongan chalet untuk tempahan terutama pada cuti hujung minggu dan cuti persekolahan pada tahun ini berikutan tempahan sudah dibuat berbulan-bulan lebih awal, malah ada yang terpaksa menunggu selama setahun bagi mendapatkan tarikh dikehendaki mereka.

"Kami tiada niat menghampakan hasrat pengunjung yang mahu menginap di sini, namun tempat penginapan yang terhad menyebabkan terpaksa menolak beberapa tempahan daripada orang ramai.

"Kini kami dalam proses untuk menambah dua lagi chalet dan ia dijangka siap pada tahun hadapan memandangkan kerja pembinaan chalet berkenaan dibuat sendiri oleh ayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:00 AM