NADZIM (tiga kiri) menyampaikan nombor pendaftaran khas kepada Khairul Idham. FOTO Ghazali Korie
NADZIM (tiga kiri) menyampaikan nombor pendaftaran khas kepada Khairul Idham. FOTO Ghazali Korie
Azlan Muhammad Zain dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur : Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, menerima sumbangan RM10,000 serta nombor pendaftaran khas PATRIOT 89 daripada Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) di sini, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Pengerusi YPNM, Datuk Nadzim Johan bagi menghargai jasanya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Nadzim berkata, sumbangan itu adalah simbolik kepada permulaan kempen mencari tajaan kepada Super KIP dan pihaknya berharap ia akan menjadi ikutan semua pihak syarikat lain di negara ini.

"Kita harap semua syarikat tampil membantu kerana ini adalah aset negara. Dengarnya tajaan kepada dia tidak begitu banyak. Sepatutnya dia dibantu sesuai dengan statusnya sebagai juara dunia," katanya pada sidang media.

Khairul Idham yang digelar Super KIP berkata, tajaan serta nombor pendaftaran khas itu menjadi pembakar semangat untuk dia memberikan yang terbaik dalam perlumbaan.

"Terima kasih kepada Yayasan Patriot Negara Malaysia kerana membantu saya. Melalui sumbangan ini saya harap dapat terus mengangkat nama negara," katanya pada majlis penerimaan petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 5:03 PM