YANN (kanan) menyerahkan cendera hati kepada sukarelawan.
YANN (kanan) menyerahkan cendera hati kepada sukarelawan.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Pupuk sukarelawan cintakan negara sejak usia muda. Itu pendekatan Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) untuk menerapkan nilai patriotik dan jati diri dalam jiwa sukarelawan mereka.

Menerusi pelbagai pendekatan, program serta aktiviti bersama masyarakat, ia menjadi permulaan untuk membentuk bangsa patriotik dalam kalangan generasi muda khususnya lepasan sekolah.

Pengarah Kreatif YPNM, Yann Razal berkata, sejak ditubuhkan pada April 2013, pihaknya komited melahirkan generasi yang menghargai keharmonian dalam negara dengan pengisian program berfaedah kepada masyarakat.

Katanya, YPNM akan mengadakan program bersama komuniti setiap tiga bulan di sekitar Lembah Klang untuk menyemarakkan semangat sukarelawan muda berbakti kepada negara.

“Program yang kami lakukan seperti membersihkan sungai, gotong-royong jaga kebersihan dan menjaga alam sekitar.

“Walaupun hanya program mengutip sampah, tetapi ia sangat bermakna kerana nilai yang diterapkan itu bukan sedikit.

“YPNM bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan untuk program komuniti hujung minggu. Alhamdulillah, sambutan diterima menggalakkan,” katanya.

SUKARELAWAN mengumpulkan sampah untuk dibuang di tempat disediakan.
SUKARELAWAN mengumpulkan sampah untuk dibuang di tempat disediakan.

Menurutnya, dalam setiap sesi, kira-kira 30 hingga 40 penuntut dari universiti awam dan swasta menyertai program membersihkan kawasan selain pengisian lain seperti ceramah serta perkongsian ilmu.

Yann berkata, YPNM juga membangunkan kebun komuniti mereka di tapak yang disediakan di Lorong Gurney, Kuala Lumpur bagi membolehkan sukarelawan belajar bertani secara sistematik.

“Kami mahu sukarelawan membiasakan diri dengan kerja komuniti dan mengambil faedah daripadanya. Kita ada pakar yang akan membincangkan pelbagai tajuk bersesuaian dalam setiap program,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 11:04 AM