NAJIB dipakaikan pakaian rasmi kontijen negara oleh jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
NAJIB dipakaikan pakaian rasmi kontijen negara oleh jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Hadiah wang tunai RM1 juta dan pencen RM5,000 sebulan untuk pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik menjadi ganjaran buat semua 32 atlet negara yang bertarung dalam 10 acara sukan pada temasya Sukan Olimpik di Rio de Jenerio, Brazil, bulan depan.

Pertaruhan utama disandarkan ke atas Datuk Lee Chong Wei untuk badminton dan Pandalela Rinong untuk acara terjun. Namun, acara sukan lain juga mampu membuat kejutan terutama Azizul Hasni Awang dalam acara Kirin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan masih mengekalkan ganjaran RM1 juta dan pencen tetap RM5,000 sebulan bagi atlet yang membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik.

Katanya, pemenang pingat perak dan gangsa pula akan diberi pencen tetap RM3,000 dan RM2,000 setiap bulan.

Dalam pada itu, katanya, beliau sedar Sukan Olimpik bukan mudah kerana ia pentas sukan paling berprestij dan sudah tentu ia satu pertandingan serta persaingan yang sengit.

“Emas sentiasa menjadi impian negara. Saya juga pasti impian itu ada dalam minda anda semua, justeru, lakukan yang terbaik.

“Kami harap anda memenangi pingat emas pertama atau apa-apa pingat dalam temasya ini,” katanya ketika menyampaikan amanat dan kata-kata semangat kepada kontinjen Sukan Olimpik Malaysia di sini, semalam.

Seramai 11 atlet daripada 32 atlet yang layak ke Sukan Olimpik hadir pada pertemuan itu yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Chef de Mission kontinjen Malaysia Tan Sri Dr Mohamed Al-Amin Abdul Majid.

Kumpulan pertama atlet negara berlepas ke Rio de Janeiro pada 21 Julai lalu manakala kumpulan terakhir berlepas pada 2 Ogos ini.

Beliau menaruh harapan tinggi jagoan badminton negara, Lee Chong Wei mampu memenuhi impian rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 9:32 AM