REKAAN selesa untuk si jejaka.
REKAAN selesa untuk si jejaka.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BERTEMAKAN 'A Sense of Ease,' peruncit pakaian global, UNIQLO tampil dengan koleksi menarik untuk lelaki dan wanita sempena musim bunga/panas tahun ini.

Koleksi terbaharu U 2023 itu dihasilkan sendiri Pengarah Artistiknya, Christophe Lemaire bersama pasukan penyelidikan dan reka bentuk di Paris, Perancis.

Ia menampilkan himpunan moden yang malar segar untuk memudahkan kehidupan pemakainya.

Lapisan lembut dalam kapas matte dan kapas AIRism yang menyegarkan jelas memberi keselesaan meskipun ia dipakai pada cuaca yang panas terik.

Gabungan palet warna yang menarik dan elegan dengan rona nuetral seperti biru, kuning air, ungu, merah jambu dan oren turut menyerlahkan lagi koleksi kali ini.

Untuk wanita, koleksi berkenaan menawarkan rekaan yang versatil dan boleh ditukar ganti antara senaman dan pakaian harian, memenuhi keperluan gaya wanita aktif.

Kemeja nipis dengan hiasan tampalan poket atau seluar denim potongan longgar dan melengkung antara rekaan yang boleh dimiliki.

Untuk si jejaka, himpunan pakaian lengkap yang versatil dengan gaya moden sesuai digayakan untuk musim bunga/panas kali ini.

Kemeja berjalur yang boleh dipadankan dengan seluar pendek kapas dalam potongan lebar adalah gaya ringkas dan selesa.

Selain itu, jaket bersaiz besar, celana Parachute juga adalah gaya fesyen baharu yang boleh dimiliki.

Dalam pada itu, tidak lengkap penampilan pada musim bunga/panas kali ini tanpa aksesori pelengkap gaya.

Antara aksesori yang boleh dimiliki adalah topi dan beg menarik yang boleh diguna dalam pelbagai musim.

Keseluruhannya, himpunan kali ini menampilkan 26 rekaan menarik untuk wanita, 20 untuk si jejaka dan tujuh aksesori pelengkap gaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 7:00 AM