PAKAIAN yang mempunyai elemen net mampu menonjolkan aura romantik kepada pemakai.
PAKAIAN yang mempunyai elemen net mampu menonjolkan aura romantik kepada pemakai.
Hafiz Ithnin

Kita sudah menjengah tahun 2024. Sudah semestinya dunia fesyen penuh warna warni dan berubah mengikut selera si pemakai yang bersifat dinamik.

Penganalisis Fesyen, Faizal Hamid berkata, gaya kita berpakaian sememangnya mencerminkan identiti, personaliti dan karakter.

Jelasnya, pakaian adalah ekspresi luaran yang lahir dari dalam diri individu. Kini yang pasti paling menjadi keutamaan adalah gaya ekspresi individu.

"Gaya adalah luahan rasa yang menyerlahkan keperibadian si pemakainya. Sememangnya aliran fesyen memberikan kita pelbagai panduan untuk memantapkan gaya supaya lebih menarik, yakin dan kreatif terhadap diri sendiri dan apabila berhadapan dengan masyarakat. Paling penting kita perlu bijak memilih.

"Sememangnya pada tahun ini, gaya berfesyen bukan lagi terlalu mengikut aliran atau manual undang-undang. Fesyen adalah terpulang pada khalayak untuk beri definisi mengikut kesan yang mereka mahukan dengan setiap gaya yang dipakai. Kini semuanya mengenai gaya individu ataupun gaya peribadi yang autentik," katanya.

Justeru, Faizal meramalkan antara aliran gaya tahun ini yang boleh dijadikan inspirasi:

• Bagi musim ini pereka menghasilkan gaun kaya dengan dekorasi dan perincian. Gaun pelbagai variasi warna dan mewah dihiasi ropol, tatahan labuci dan manik.

Bagi yang mahukan kelainan, dapatkan gaun yang penuh kilauan labuci dan kristal. Ia sudah cukup berkilau dan tidak perlu penambahan barang kemas.

Gaun syif yang berlabuci dapat menampilkan gaya anggun dan klasik. Pasti menyerlahkan anda dan memikat sesiapa yang memandang.

• Kesederhanaan rona monokromatik hitam dan putih menjadikan ia trend klasik yang malar segar. Selain sentiasa menjadi antara trend yang mendominasi pilihan kita dalam berpakaian.

Ia cukup mudah digayakan kerana keseimbangan kombinasi hitam dan putih yang sentiasa memberi impak positif dan menarik pada si pemakainya.

Rona hitam dan putih sememangnya adalah simbol wanita klasik yang tegas dan rapi dalam penampilan. Sama ada dipakai siang atau malam, majlis rasmi atau santai (kasual) hasilnya kombinasi hitam dan putih sentiasa tidak mengecewakan, gaya urban yang praktikal digayakan serta menjadikan kita nampak lebih muda.

Perbezaan hitam dan putih (dalam rekaan fesyen) sentiasa dapat menjadikan bentuk tubuh lebih menarik, kurus dan dapat menyembunyikan kekurangan yang ada.

PILIHAN elemen metalik mampu menyerlahkan gaya segar kepada pemakai.
PILIHAN elemen metalik mampu menyerlahkan gaya segar kepada pemakai.

• Ceria, segar, mengujakan dengan sedikit elemen futuristik- metalik antara trend popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sememangnya kita mahu pakaian kita menjadi perhatian. Namun berhati-hati kerana jika keterlaluan dengan trend metalik, dikhuatiri kita akan kelihatan seperti cyborg daripada masa hadapan.

Oleh itu, untuk hasil yang terbaik, pastikan gaya solekan anda adalah natural, dandanan rambut yang ringkas dan gayakan hanya satu aksesori metalik hebat (rona emas, perak, labuci atau rona permata) pada satu-satu masa, dipadankan dengan pilihan rekaan pakaian dengan gaya sederhana.

• Aura romantik, nostalgia dan gemilang dapat kita lihat melingkari banyak koleksi-koleksi musim bunga/panas 2024 jenama antarabangsa.

Barisan pereka menggunakan renda, ropol, ilusi telus serta siluet yang lembut dan ringkas hasil daripada penggunaan fabrik yang ringan, jarang serta berlapis-lapis seperti sutera sifon, net (tulle) dan organza.

Trend rekaan pakaian gaya romantik ini sesuai untuk semua wanita, cukup bersahaja, manis dan feminin digayakan siang dan malam.

Gaya romantik musim ini didatangkan dalam rona lembut serta rekaan yang sopan, glamor dan mengekalkan siluet penuh kewanitaan.

Malah gaya ini diperindahkan dengan elemen rekaan seperti kolar tinggi, potongan lengan gelembung (billowy sleeves), peplum, riben, bow, skirt/ gaun yang labuh hingga lantai, bulu marambu serta tekstur perincian manik atau jemeki rumit yang digabungkan dengan sentuhan kontemporari.

Apabila bereksperimentasi dengan gaya estetik feminin dan romantik ini, kuncinya adalah kesederhanaan.

• Untuk tahun ini, reka corak flora terus berkembang mekar dalam koleksi rekaan pereka antarabangsa, di jalanan dan di mana-mana sahaja. Variasi cetakan flora ini muncul pada padanan seluar, leggings, skirt, gaun, blaus/top, jaket dan aksesori.

Dapatkan reka corak flora dalam rona terang dan berani atau dalam rona lembut (pastel). Cuba berani bereksperimentasi dengan variasi saiz flora atau kombinasi padanan menarik seperti reka corak flora dan jalur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 6:30 AM