ROHAYAH (duduk kanan) bergambar bersama Rohani (tengah) dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani (duduk kiri) serta barisan pelakon teater Diari Wanita... Episod Kak Ani & Nyonya.
ROHAYAH (duduk kanan) bergambar bersama Rohani (tengah) dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani (duduk kiri) serta barisan pelakon teater Diari Wanita... Episod Kak Ani & Nyonya.

Naskhah teater Nyonya yang sinonim dengan peminat tempatan kini bakal dipentaskan kembali buat kali ketujuh. Istimewanya, naskhah berjudul Diari Wanita hasil gabungan penulis Indonesia, Wisran Hadi (Nyonya) dan Rosminah Tahir (Kak Ani) ini menampilkan kisah pengalaman hidup Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Teater terbitan CTRA Production arahan Rosminah ini mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Istana Budaya. Ia akan menemui penonton di Panggung Sari, Istana Budaya pada 11 hingga 16 Februari 2015.

Tampil dengan naskhah yang lebih segar, Diari Wanita... Episod Kak Ani & Nyonya membariskan pelakon hebat iaitu Liza Othman dan Dayang Kartini (Kak Ani), Sherry Alhadad (Nyonya), Misha Omar dan Nur Nazira Harizan (Keponakan Cantik), Amy Mastura (Keponakan Anggun), Juhara Ayob (Keponakan Beautiful), Nad Zainal (Isteri) dan Shahrul Mizad Ashari (Tuan).

Rohayah berkata, meskipun naskhah Nyonya sering diulang, ia tetap mendapat perhatian penonton kerana jalan ceritanya yang berbeza.

"Kali ini kami ambil kisah hidup Datuk Seri Rohani yang mempunyai mesej tersendiri. Ia pasti menarik penonton kerana konsep penyampaiannya juga berbeza.

"Kisah Nyonya akan diselang-selikan dengan kisah Rohani (yang dipanggil Kak Ani)," katanya pada sidang media yang berlangsung di Istana Budaya, Isnin lalu.

Menurutnya lagi, unsur komedi yang sedia ada tetap dikekalkan, manakala pementasan ini akan dibuat dalam bentuk monolog di mana cara lontaran dialognya lebih mendalam dan meninggalkan kesan kepada penonton.

"Sudah semestinya unsur komedi ini perlu kerana ia berupaya menghiburkan penonton tapi dalam masa sama, kami juga nak mengangkat kisah hidup seorang pemimpin wanita yang mampu berjaya walaupun berdepan kesusahan dalam hidupnya," katanya.

Kisah Kak Ani mengangkat pengalaman Rohani sejak zaman kecilnya hingga berjaya menjadi seorang menteri. Ibunya seorang tukang cuci, manakala bapanya pula bekerja sebagai tukang masak.

Beliau hidup seperti kanak-kanak biasa pada zaman awal kemerdekaan iaitu penuh dengan kesusahan. Kak Ani melakukan banyak kerja untuk hidup seperti membantu ibunya menjadi tukang cuci di rumah 'mat salih' tetapi dalam masa yang sama sangat minat untuk belajar dan menjejakkan kaki ke universiti.

Skrip Nyonya pula menceritakan mengenai seorang wanita kaya dipanggil Nyonya yang harus 'berperang' dengan Tuan, seorang pedagang barang antik yang mempunyai pelbagai muslihat.

Tuan cuba mendekati Nyonya meskipun dia tahu suami wanita itu terlantar sakit di rumah akibat kanser lidah. Muslihat terakhir Tuan adalah dengan menyatakan lutut Nyonya akan membengkak dan berdarah sekiranya Nyonya terus berdiri, lalu, dia mahu Nyonya duduk dan berbaring bersamanya di atas katil.

Pada masa sama, rumah Nyonya sering didatangi tiga keponakan (anak saudara) kepada suaminya bagi menuntut harta.

Sementara itu, Amy Mastura pula mengakui gembira kerana masih menjadi pilihan Rohayah untuk berlakon teater ini.

"Pada saya karakter dan jalan cerita Nyonya masih sama. Cuma, ada sesetengah watak bertukar pelakon dan mungkin gaya lakonan mereka berlainan. Apapun, saya seronok kerana dapat kembali beraksi dalam teater ini," katanya.

Tiket untuk menonton boleh didapati melalui www.AirAsiaRedTix.com dengan harga RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:01 AM