Oleh Ramlah Zainal


Pasti ramai yang tidak asing dengan nama pelakon dan pengacara berbakat besar, Sherry Alhadad.

Selepas tamat kontrak enam bulan sebagai pengacara program sensasi Melodi TV3, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz terus diberi kepercayaan sebagai pengacara rancangan bual bicara Diva terbitan TV9 bermula 17 Januari ini.

Terbaru, Sherry dilamar beraksi dalam pementasan Diari Wanita. Episod Kak Ani & Nyonya terbitan CTRA Production yang akan dipentaskan pada 11 hingga 16 Februari depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Sharifah Mariam Syed Abd Alhadad, 30, mengakui watak Nyonya yang ditawarkan itu turut mencabar lakonannya.

"Saya perlu berdialog dalam bahasa Indonesia bagi menjiwai watak Nyonya itu.

"Saya percaya kebanyakan pelakon teater mengidamkan watak Nyonya kerana ia adalah watak yang sangat berat, sarat dengan dialog serta banyak bermain dengan perasaan.

"Penguasaan pentas amat penting, begitu juga kebolehan mengadaptasi suasana serta kehadiran watak lain seperti Tuan, Keponakan Anggun, Keponakan Beautiful, Keponakan Cantik dan Isteri," katanya.

Sejak dipentaskan enam kali sebelum ini oleh produksi sama, watak Nyonya pernah digalas oleh barisan pelakon teater hebat seperti Juhara Ayob, Tania Zainal dan Mardiana Alwi.

"Saya sudah bersedia jika ada orang yang akan membandingkan lakonan saya dengan mereka.

"Sebagai pelakon, saya hanya buat yang terbaik dan sudah bersedia 'dimarahi' pengarah teater ini, Rosminah Tahir," katanya.

Sherry pernah memegang watak yang sama ketika pementasan Mak Dara Nyonya pada 2011 berganding bersama Zaifri Husin, Misha Omar, Sarimah Ibrahim, Fara Fauzana dan Norzizi Zulkifli.

"Kali ini, saya akan bergandingan dengan rakan lama yang juga pensyarah di ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) iaitu Shahrul Mizad Ashari yang memegang watak sebagai Tuan," katanya.

Sebelum ini, Sherry pernah beraksi dalam pementasan seperti Ibu Zain, Asrama-Ra, Jam Dinding Berdetak dan banyak lagi.

Dia juga banyak menghabiskan masa di balik tabir pentas teater sebagai pengurus pentas menjadi bualan ramai selepas berjaya mencuit hati penonton ketika Anugerah Skrin 2013 (ASK) sebagai pengacara selingan.

Percaya bahawa bakat yang ada harus digilap dan harus memiliki disiplin yang tinggi, Sherry masih mengutamakan pentas teater meskipun imbuhan yang diterima tidak seperti di kaca televisyen.

"Saingan terhadap pentas teater juga sudah semakin mencabar kerana ramai nama-nama popular dalam bidang nyanyian, filem dan drama televisyen sudah bersedia menjadi pelakon teater.

"Contoh yang kita lihat seperti Awie, Erra Fazira, Misha Omar, Remy Ishak, Aaron Aziz, Maya Karin, Adi Putra dan ramai lagi yang sebelum ini terlalu asing di pentas teater," katanya.

Teater Diari Wanita. Episod Kak Ani & Nyonya adalah sebuah persembahan teater yang menggabungkan dua cerita dalam satu persembahan iaitu Kak Ani dan Nyonya.

Naskhah Nyonya ditulis oleh penulis Indonesia iaitu Wisran Hadi, manakala Kak Ani adalah karya baru yang ditulis oleh Rosminah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:00 AM