Oleh Ramlah Zainal


Bukan calang-calang naskhah terbaru teater Diari Wanita terbitan CTRA Production kerana ia memaparkan kisah wanita dan permasalahan yang dilalui dalam hidup, tetapi disampaikan dalam bentuk komedi serta sindiran.

Teater garapan Rosminah Tahir ini mempertaruhkan barisan pelakon hebat seperti Khatijah Tan (Kak Ani), Misha Omar (Keponakan Cantik), Amy Mastura (Keponakan Anggun), Sherry Alhadad (Nyonya), Juhara Ayob (Keponakan Beautiful) dan Shahrul Mizad Ashari (Tuan).

Pementasan yang membabitkan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Istana Budaya (IB) ini bakal dipentaskan di Panggung Sari, IB, Kuala Lumpur bermula 11 hingga 16 Februari tahun depan.

Selaku penerbit teater ini, Siti Rohayah Attan atau lebih mesra disapa Kak Roy berkata, objektif pementasan ini ialah untuk berkongsi pengalaman hidup wanita yang berdepan ujian hidup terutamanya golongan ibu tunggal.

"Diari Wanita sebuah pementasan teater yang menggabungkan dua cerita dalam satu persembahan iaitu Kak Ani dan Nyonya. Naskhah Nyonya ditulis penulis Indonesia iaitu Wisran Hadi dan Kak Ani adalah karya baru yang ditulis Rosminah.

"Idea untuk mementaskan Diari Wanita bermula pada 2 Julai 2013 apabila saya membincangkan nasib golongan wanita di luar sana," katanya.

Dari segi skrip, Siti Rohayah berkata, cerita Kak Ani berdasarkan pengalaman hidup Menteri Pemba-ngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang melalui sejarah panjang sebelum menjadi menteri.

"Sebagai anak tukang cuci yang miskin, Kak Ani adalah ibu tunggal yang gigih membesarkan tiga anaknya. Semoga kekuataannya menjadi pengajaran kepada semua terutamanya golongan ibu tunggal di luar sana," katanya.

Mengenai pemilihan barisan pelakon pula, Siti Rohayah berkata, semua barisan pelakon Diari Wanita banyak terbabit dalam produksi CTRA Production sebelum ini.

"Rata-rata pelakon teater ini orang teater yang sudah faham mengenai cerita ini dan biasa bekerja dengan produksi. Pada masa sama, mereka juga bersedia dengan segala perubahan yang akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Rosminah pula dipilih sebagai pengarah kerana beliau pengarah yang mempunyai semangat feminisme dalam memperjuangkan isu golongan wanita melalui teater sebagaimana teater Ibu Zain, Lantai T.Pinkie, Nyonya, Li Po dan sebagainya lagi," katanya.

Cabaran pentaskan Diari Wanita

Setiap naskhah teater turut berdepan cabaran tersendiri. Begitu juga pementasan Diari Wanita. Kata Siti Rohayah, seperti biasa pihaknya berdepan dengan cabaran dari segi penajaan kerana kos pementasan mencecah hampir RM1 juta.

"Pihak kami bekerja keras untuk mendapatkan tajaan daripada pelbagai pihak di luar sana. Melalui tajaan ini kita memberi peluang kepada ibu tunggal yang tidak berkemampuan untuk menonton teater ini secara percuma.

"Kami akan mengkaji badan bukan kerajaan berkaitan dengan wanita serta anak yatim untuk menyalurkan tiket percuma ini," katanya.

Menurutnya, cabaran lain dihadapi ialah untuk me-nyakinkan penonton kerana cerita Kak Ani dilakonkan secara monolog oleh Khatijah Tan.

"Pihak kami perlu menampilkan kelainan dalam naskhah ini kerana pementasan Nyonya sudah dipentaskan sebanyak enam kali sebelum ini.

"Teater ini dipentaskan dalam skala sederhana di Panggung Sari, IB. Pelakon juga tidak melebihi 10 orang. Pihak kami banyak menggunakan teknik multimedia," katanya.

Ditanya perkembangan lanjut teater ini, katanya, setakat ini, skrip Kak Ani masih dalam proses pembikinan lagi.

"Barisan pelakon akan mula berkumpul pada akhir Disember ini dan sesi latihan akan bermula Januari depan.

"Kita berharap semua pengikut Nyonya akan terus menyokong pementasan ini kerana ia sesuai ditonton seisi keluarga," katanya.

Harga tiket untuk menyaksikan pementasan ini ialah RM35, RM55, RM85 dan RM155 dan pembelian boleh dibuat menerusi www.airasiaredtix.com. Maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-61866592.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:00 AM