Yang Di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud (kanan) dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (dua dari kanan) ketika perasmian sambutan Hari Sarawak di Tebingan Kuching, hari ini. - Foto CHE RANI CHE DIN
Yang Di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud (kanan) dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (dua dari kanan) ketika perasmian sambutan Hari Sarawak di Tebingan Kuching, hari ini. - Foto CHE RANI CHE DIN
Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam sambutan Hari Sarawak, di Tebingan Kuching, hari ini. - Foto RANI CHE DIN
Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam sambutan Hari Sarawak, di Tebingan Kuching, hari ini. - Foto RANI CHE DIN
BERNAMA

Kuching: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini meminta parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Sarawak menyokong kerajaan negeri dalam permohonannya mendapatkan penurunan kuasa daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan semula kuasa dan hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Mengikut perjanjian itu, Malaya, Sarawak, Borneo Utara (kini Sabah) dan Singapura bersetuju dengan pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Perjanjian ini tidak boleh dipinda walaupun oleh Perlembagaan kerana ia perjanjian antarabangsa dan sebarang cubaan meminda Perjanjian Malaysia 1963 bercanggah dengan Perlembagaan," katanya pada sambutan Hari Sarawak di Tebingan Kuching.

Adenan berkata, dalam tempoh 50 tahun lalu, kuasa yang diberi kepada Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963, sering terhakis.

“Sekarang, kita mahu dapatkan kembali hak asal yang dahulunya diberi kepada kita pada 1963 dan kerajaan Persekutuan memberi respons positif," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa diketuai peguam negara dan peguam besar negeri akan menyediakan butiran terperinci dan beliau berharap

hasilnya dapat dilihat menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Beliau berkata, generasi muda mungkin tidak tahu sejarah pembentukan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Hari ini, saya dapati anggota pembangkang juga hadir di sini. Saya mengundang mereka kerana kita semua bersatu hati, kerajaan dan pembangkang, dalam memperjuangkan hak sebagai rakyat Sarawak,” katanya.

Adenan juga berkata kerajaan negeri tidak pernah bersetuju dengan idea untuk memisahkan Sarawak daripada Malaysia namun selepas 50 tahun, beliau berkata, Sarawak tidak mahu lagi wujudnya sekolah terhumban ke dalam sungai, sekolah tanpa bekalan elektrik dan air, jalan raya yang tidak siap dibina serta kemudahan asas yang tidak lengkap.

“Kalau setakat 20 atau 30 tahun, kita tidak kisah, tapi kalau sudah lebih 50 tahun, kita tidak boleh lagi bertolak ansur. Oleh itu, kita minta kerajaan Persekutuan lebih bersimpati kepada kita.

"Kita juga mempersoalkan hak mereka terhadap sumber kita memandangkan ia adalah sumber kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 6:43 PM