Adenan bersama pemimpin SUPP dan wakil komponen parti BN serta pemimpin masyarakat cina yang hadir di majlis Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina SUPP Miri dan Sibuti, malam tadi. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Adenan bersama pemimpin SUPP dan wakil komponen parti BN serta pemimpin masyarakat cina yang hadir di majlis Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina SUPP Miri dan Sibuti, malam tadi. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Kerajaan negeri akan meneliti cadangan menjadikan 22 Julai sebagai cuti umum di Sarawak bagi memperingati kemerdekaan negeri ini daripada penjajahan British.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata, cadangan itu akan diperhalusi dalam mesyuarat Kabinet Sarawak akan datang, termasuk memperhalusi program pengisian ketika meraikan sambutan hari berkenaan kelak.

"Tarikh 22 Julai adalah hari yang penting bagi Sarawak kerana ia detik kemerdekaan kita dari penjajahan British.

"Lantaran itu, Kerajaan Negeri bercadang menjadikannya sebagai tarikh rasmi bagi memperingati peristiwa bersejarah itu dan diisytiharkan sebagai cuti umum," katanya ketika Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Miri dan Sibuti di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden SUPP Senator Prof Datuk Dr Sim Kui Hian.

Adenan berkata, cadangan itu boleh dilihat sebagai simbolik kemerdekaan negeri ini, sekali gus memperkukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

"Generasi muda perlu mengingati tarikh keramat ini. Dalam pada itu, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan tetap diraikan setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 11:50 PM