Muhd Amirul Faiz Ahmad


UNGKAPAN keramat ‘Anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung’ kembali bergema pada sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak Ke-55 di Dataran Perayaan di Petra Jaya, hari ini.

Ucapan berkenaan yang dilontarkan pemimpin ulung Iban yang juga individu penting menyokong penubuhan Malaysia, mendiang Tun Jugah Barieng, bermaksud ‘Jangan Malaysia seperti tebu, manis di pangkal tawar di hujung’ cukup signifikan bagi konteks Sarawak sebagai rakam kongsi dalam pembentukan negara ini pada 1963.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengingatkan kembali ungkapan itu di hadapan 4,000 rakyat Sarawak yang hadir sempena meraikan Hari Kemerdekaan Sarawak, yang menjadi hari bersejarah mengingati negeri ini bebas dari belenggu kolonial British.

Beliau berkata, secara asasnya, Sarawak berpuas hati dengan janji pembentukan Malaysia yang sudah dilunaskan, malah, keselamatan negeri ini berdepan ancaman dalaman dan wilayah jiran berjaya diselesaikan dengan bantuan Kerajaan Persekutuan dan negara Komanwel.

“Namun, dalam situasi sengaja atau tidak, hak Sarawak semakin dihakis tanpa pengetahuan rakyat Sarawak sendiri. Sudah pasti keadaan ini membawa ketidakpuasan hati rakyat Sarawak keseluruhannya.

“Kita berpandangan kuasa Sarawak perlu dikembalikan semula menerusi rundingan kerana perasaan tidak berpuas hati rakyat Sarawak membabitkan hak negeri adalah tidak sihat dalam kehidupan kita bernegara,” katanya dalam ucapan di Dataran Perayaan, hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Tan Sri James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta barisan Kabinet Sarawak.

Abang Johari ketika mengulas lanjut, berkata sebelum pembentukan Malaysia 55 tahun lalu, Sarawak sudah mempunyai undang-undang pentadbiran dan pengurusan sumber aslinya, terutama membabitkan minyak dan gas.

“Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) tidak pernah dimansuhkan dan Sarawak tidak pernah bersetuju terhadap mana-mana peruntukan undang-undang Persekutuan yang mengatasi kuasa OMO 1958 seperti mana terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Apa sahaja perkara membabitkan hak Sarawak terpakai sekiranya diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak tidak pernah menyatakan persetujuan terhadap Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang diluluskan Parlimen dan kerajaan negeri kekal mempertahankan OMO 1958.

“OMO 1958 memperuntukkan kerajaan negeri kuasa untuk mentadbir sepenuhnya minyak Sarawak dan sumber gasnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 1:31 PM
TUN Abdul Taib Mahmud bersama isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib hadir merasmikan Sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak 2018. FOTO Nadim Bokhari
TUN Abdul Taib Mahmud bersama isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib hadir merasmikan Sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak 2018. FOTO Nadim Bokhari