ROSYAM bersama kru filem Kabali.
ROSYAM bersama kru filem Kabali.
NORMAN dan P Ranjit.
NORMAN dan P Ranjit.
NORMAN bersama Rajinikanth.
NORMAN bersama Rajinikanth.
NORMAN, Jalaludin dan Rosyam teruja dapat bekerja dengan pasukan produksi di India.
NORMAN, Jalaludin dan Rosyam teruja dapat bekerja dengan pasukan produksi di India.
ANTARA babak dalam Kabali.
ANTARA babak dalam Kabali.
ANTARA babak dalam Kabali.
ANTARA babak dalam Kabali.
Nor Akmar Samudin


Filem Kabali lakonan superstar filem Tamil, Rajinikanth bukan saja menjadi filem paling dinantikan peminat hero legenda itu di seluruh dunia, tetapi turut memberi pengalaman yang tidak pernah dijangka dua pelakon tanah air, Datuk Rosyam Nor dan Norman Hakim apabila turut berlakon dalam filem berkenaan.

Biarpun watak mereka kecil dan hanya menuturkan beberapa patah perkataan dalam bahasa Tamil, namun ia begitu bererti buat Rosyam dan Norman kerana dapat meraih pengalaman bekerja dengan pasukan produksi filem luar negara.

Pada Januari lalu, mereka menjalani penggambaran 15 hari di Chennai, India sebelum menyambungnya di Kuala Lumpur selama 20 hari. Selain Rosyam dan Norman, pelakon tempatan lain yang terbabit dalam filem berkenaan ialah Zack Taipan dan Yank Kassim.

Di sana, mereka diberi layanan kelas pertama. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, mereka terus dilayan bak superstar apabila masing-masing disediakan pemandu, pembantu dan menginap di hotel lima bintang.

Di lokasi pula, mereka diberikan karavan yang serba lengkap di dalammya untuk berehat sementara menantikan penggambaran babak mereka bermula.

Bukan terlalu memuji layanan yang diberikan produksi filem itu, namun ia adalah pengalaman manis buat Rosyam kerana sepanjang pembabitannya dalam industri seni tempatan, ini kali pertama dia berpeluang berlakon di pentas antarabangsa.

Malah, dia juga berkongsi lensa kamera dengan bintang legenda Rajinikanth, 66, yang bukan saja digilai jutaan peminat di tanah airnya sendiri, tetapi di luar negara seperti Amerika Syarikat, Jepun termasuk Malaysia.

Menurut Rosyam, filem lakonan Rajinikanth pernah ditayangkan di Jepun selama setahun.

“Saya sendiri yang berada di set penggambaran dengannya dapat berasakan aura yang sangat kuat daripadanya biarpun saya hanya duduk membelakanginya.

“Jika Datuk Shah Rukh Khan dan Amitabh Bachchan dikatakan dua figura seni paling popular di Bollywood, namun hakikatnya, Rajinikanth adalah bintang nombor satu di India.

“Melihatkan susuk tubuh Rajinikanth yang masih segak dan langkahnya yang tegap serta karisma yang ada padanya, saya melihat kepada diri saya sendiri, adakah saya mampu menjadi sepertinya andai kata usia dipanjangkan sehingga 66 tahun.

“Dengan memerhati daripada segala sudut dirinya, saya cuba belajar sesuatu daripadanya. Usia hanya angka, tetapi sebagai anak seni, imej , penampilan dan perwatakan mesti dijaga.

“Syukur pada usia saya yang menjangkau 49 tahun ini, saya masih diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama dalam filem terbaru arahan Syafik Datuk Yusof iaitu KL Special Force lakonan bersama Fattah Amin dan Syamsul Yusof,” katanya.

Menurut Rosyam, dia menjaga pemakanan dan bagi memastikan memiliki susuk tubuh tegap, dia kerap ke ladang nangkanya di Pahang kerana dengan membersihkan ladangnya itu dianggap senaman buatnya.

“Pada usia begini, saya tidak mengimpikan tubuh sasa dan badan berketul-ketul, tetapi saya akan pastikan tubuh saya cergas dan tidak gemuk,” katanya.

Berkongsi lagi pengalamannya berlakon dalam Kabali, Rosyam berkata, memandangkan filem itu berbajet besar, seorang pengarah dibantu 13 pembantu pengarah dengan 500 kru produksi.

“Masing-masing melakukan kerja mereka dengan tangkas dan Rajinikanth pastinya dilayan seperti raja, ada saja pembantu bersamanya bagi memenuhi setiap permintaannya.

“Sempat saya bertegur sapa, bergambar dan berbual ringkas dengannya, ternyata dia seorang yang baik, relaks dan amat menghargai peminat. Saya juga beritahunya meminati lakonannya sejak saya kecil,” katanya.

Menurut Rosyam, untuk memahami jalan cerita dan dialog Kabali, mereka menggunakan penterjemah dari Malaysia iaitu Vicram. Di sana, Vicram yang banyak membantu mereka.

Berpeluang berlakon dalam Kabali juga membuatkan Rosyam kini mempunyai peminat baru dalam kalangan masyarakat India.

“Dulu mereka kenal juga saya, tetapi respons yang saya terima sekarang lebih baik. Walaupun saya beritahu watak saya kecil dalam filem itu, tetapi mereka kata apa yang penting saya dapat berlakon dengan Rajinikanth.

“Itu sudah memadai untuk saya lebih dikenali dalam kalangan masyarakat India,” katanya yang turut ditawarkan berlakon dalam filem seram terbitan syarikat produksi dari India.

“Jika semuanya berjalan lancar, saya akan ke India dalam masa terdekat,” katanya.

Norman rasai kehebatan Rajinikanth

Sama seperti Rosyam, Norman juga berasa amat bertuah apabila dipilih untuk bersama dalam ‘team’ Kabali.

“Terasa gugup berjumpa Rajinikanth kerana dia bukan calang-calang pelakon. Lebih empat dekad dalam industri perfileman di India dia berjaya mencipta jenamanya sendiri sehingga dipuja jutaan peminat di seluruh dunia.

“Selepas setahun saya berehat daripada dunia lakonan kerana menumpukan kepada perniagaan butik dengan isteri (Memey Suhaiza Suhaimi), tiba-tiba peluang itu datang.

“Memang terkejut dan saya diberi peranan watak penjahat bernama Ken. Ada adegan saya berlawan tembak-menembak dengan Rajinikanth dan seperti yang kita biasa tonton dalam filem Tamil, hero ditembak berkali-kali tidak mati, tetapi ‘saya’ ditembak sekali terus kecundang,” katanya.

Norman berkata, apabila bekerja di tempat orang, dia ikut saja cara mereka.

“Memang saya sudah biasa dengan selok-belok bidang lakonan, tetapi saya nak lihat macam mana pelakon sehebat Rajinikanth membentuk aura dan karisma dalam dirinya.

“Berada berhampirannya saja, saya sudah dapat rasakan getaran kehebatan aktor itu. Pun begitu, dia seorang yang mudah didekati,” katanya.

Sekembalinya Norman ke tanah air, dia kembali aktif berlakon, tetapi agak memilih naskhah kerana bapa kepada lima cahaya mata itu tidak mahu lari tumpuan terhadap keluarga dan perniagaan yang baru dibina.

“Saya terima tawaran berlakon dalam drama Gerak Khas musim baru kerana pada setiap musim saya diberi ‘kenaikan pangkat’ dalam pasukan polis. Secara keseluruhan saya bersama Gerak Khas sudah lapan tahun.

“Mana-mana tawaran yang terpaksa saya tolak, saya jelaskan dengan baik supaya tidak mengundang salah faham,” katanya.

Jalaludin ‘hantar suara’ dua kali

Filem arahan P Ranjit ini turut dialih suara dalam bahasa Malaysia dan seorang daripada pelakon yang menyumbangkan suara untuk filem berkenaan ialah Datuk Jalaludin Hassan.

Jalaludin yang hadir bersama Rosyam dan Norman dalam sesi fotografi bersama RAP, baru-baru ini pastinya meraih pengalaman berbeza.

Tanpa berlakon dalam filem itu dan tiada skrip ia perkara yang sukar untuk Jalaludin menghayati dialog dan jalan cerita filem itu.

“Wakil produksi mereka datang berjumpa minta saya melakukan alih bahasa dengan menghantar suara saya dulu menerusi telefon untuk pengarah filem itu dengar.

“Kali pertama hantar suara mereka senyap saja dan saya diminta hantar kali kedua. Kemudian terus diminta pergi ke India.

“Saya diminta ‘dubbing’ untuk dua suara aktor, Kishore Kumar G (watak jahat) dan Tamil Nee San (sebagai ahli politik) dan pastinya mereka berdialog dalam nada suara berbeza berdasarkan watak masing-masing.

“Dialog yang dilontarkan mesti selari dengan emosi. Saya sebenarnya tak suka buat alih suara kerana susah untuk mendapatkan mood apatah lagi saya tidak berlakon dalam filem itu,” katanya.

Menurut Jalaludin, dia terpaksa ingat semula prinsip-prinsip untuk melakukan alih suara.

“Cabaran lain menyusul apabila skrip tidak diberikan awal. Saya tiba di studio, skrip baru nak ditulis. Saya biasa hafal skrip dulu, baru masukkan karakter, tetapi dengan izin Allah saya dapat lakukan dengan mudah dan apabila sudah dapat tempo, baru saya rasa seronok.

“Dubbing tidak memerlukan suara yang sedap, tetapi apa yang penting keluarkan emosi dalam karakter. Emosi, dialog dan mood mesti selari.

“Selepas ketiga-tiga elemen itu bersatu, proses alih suara berjalan lancar dan saya gembira apabila juruteknik yang terbabit dalam proses itu beritahu saya ‘cantik’. Itu saja perkataan bahasa Melayu yang dia tahu untuk memuji hasil kerja saya.

“Senang bekerja dengan mereka apabila kalau saya tidak puas hati, saya boleh minta rakam semula alih suara itu walaupun sudah dibuat dua tiga hari lalu kerana mereka tahu saya mahu melakukan yang terbaik,” katanya.

Kabali mula ditayangkan di seluruh dunia esok dan versi bahasa Malaysia dilancarkan di negara ini pada 29 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 10:15 AM