RAJINIKANTH buat peminat terlupa Kabali itu banduan.
RAJINIKANTH buat peminat terlupa Kabali itu banduan.
Adam Salleh

Masuk panggung jam 8.30 malam, naik kematu menunggu sekitar jam 10 malam barulah kelibat Datuk Rosyam Nor muncul. Nama wataknya tidak tahu apa, dialognya pun sipi-sipi cuma membuntuti taiko Cina, Tony Lee (Winston Chau), itulah aksi ‘hero pujaan Malaya’ dalam Kabali.

Berbanding Norman Hakim, Zack Taipan dan Yank Kassim yang sepatah haram pun tidak bercakap persis ‘pak pacak,’ sebaliknya kehadiran Rosyam lebih berbaloi kerana ada dialog dan adegan bertarung dengan Kabali (Rajinikanth) di pengakhir cerita.

Kabali, filem gengster Tamil yang dinantikan peminat filem Kollywood di seluruh dunia.

Majoriti bukan saja tidak sabar bahkan ada yang histeria sebaik mendapat tahu hero ‘lejen’ mereka, Rajinikanth atau Rajini mendokong watak penting sebagai Kabali. Dan sudah semestinya masyarakat India di Malaysia beruntung kerana Kabali juga filem ke 159 lakonan Rajini menjalani lebih 60 peratus penggambaran di sini. Selama ini hanya menatap Rajini di layar lebar dan televisyen, kini sudah berada depan mata.

Impaknya begitu ketara, sebaik menjejak kaki ke negara ini pada Oktober tahun lalu di mana-mana saja Ranjinikanth berada peminatnya berbondong-bondong datang. Di lokasi usah cerita ada yang sanggup menanti seawal pagi, mujur pihak produksi menggaji pengawal peribadi.

Kabali bolehlah diumpama Robin Hood bagi masyarakat India. Sebaik keluar dari penjara, ke mana saja Kabali pergi dia diberi sambutan luar biasa oleh masyarakatnya. Dalam satu adegan di rumah pangsa, orang ramai berpusu-pusu dan satu shot diambil penghuni rumah pangsa daripada setiap aras meraikan kehadiran kembali Kabali mengalahkan menteri. Sambutan diberi bukan tahap superstar lagi, tapi tahap dewa.

Lalu penulis menjadi keliru menonton Kabali, majoriti pelakon tambahan itu mahu meraikan Kabali atau teruja dek aura Rajinikanth. Sebabnya dalam Kabali, watak Rajinikanth itu adalah banduan. Kalaupun ia mengisahkan gengster Tamil tempatan, rasanya tidak pernah terjadi adanya banduan kita tidak kiralah Melayu, Cina atau India diberi sambutan ala superstar seperti yang dinikmati Kabali.

Daripada raut wajah pelakon tambahan yang beratus itu, jelas sekali daripada raut wajah mereka bukan gembira melihat Kabali keluar penjara tetapi teruja dapat menatap wajah Rajinikanth secara ‘live.’ Di sinilah gagalnya pengarah, Ranjith memisahkan Rajini dan Kabali.

Itu belum lagi aksi kuncu Kabali yang ada terpelanting cermin mata, seperti tidak menyangka dapat berlakon di samping Rajinikanth.

Di sisi lain pujian wajar diberi pada Ranjith bagaimana dia boleh membentuk Rajinikanth menjadi Kabali pada usia lebih separuh abad. Dilahirkan pada 12 Disember 1950, menjelang empat bulan lagi Rajini akan mencecah ke usia 66 tahun. Dalam usia lanjut masih diberi kepercayaan menjadi hero, memang tepatlah dengan jolokon superstar, lajen dan pelbagai lagi dilabel media dan peminat pada beliau.

Jauh berbeza dengan masyarakat kita pada aktor tempatan. Usia 40 sudah ada yang menempelak tidak sesuai lagi menjadi hero kerana tua lalu dikaitlah istilah hero tua. Bahkan setakat ini belum nampak lagi adanya aktor kita berusia 60 tahun diberi watak menjadi hero lasak.

Rajinikanth juga dipadankan dengan heroin Radhika Apte yang menjadi isterinya, Kumudha dan anak mereka Yogi dilakonkan Dhansika. Usia Radhika kini 30 tahun dan Dhansika pula 26 tahun, tetapi bila menonton Kabali tidak terasa jarak usia mereka yang begitu jauh.

Menilai figura terkini Rajinikanth pula, ramai yang maklum rambut bekas konduktor bas ini sebelum menjadi fenomena dalam dunia perfileman Kollywood sudah banyak gugur dan botak di tengah. Inilah hebatnya filem Tamil, sentuhan magis jurumekap dapat mencorakkan Rajinikanth menjadi lebih 20 tahun muda dalam Kabali. Kita memang tidak menyedari Kabali yang kita tonton itu sudah berusia 65 tahun.

Kabali juga lari daripada plot filem Tamil yang lazim kita tonton. Sejak era MGR (MG Ramachandran), Sivaji Ganesan dan Kamal Hassan, filem Tamil terkena juga tempias filem Hindi dengan menyajikan tarian, nyanyian dan komedi. Penulis yang sudah biasa menonton filem Tamil pada era 70-an (kebetulan berjiran dengan estet) cukup suka dengan aktor komedi Tamil, Nagesh (27 September 1933-31 Januari 2009).

Nagesh bolehlah diumpama seperti Jerry Lewis di Hollywood atau Wahid Satay di Malaywood. Boleh dikatakan majoriti filem Tamil, tidak kiralah filem aksi mesti diselitkan watak komedi. Sememangnya filem Tamil dan Hindi itu ramuannya terisi tari, nyanyi dan mimpi.

Berbeza dalam Kabali tiada adegan komedi yang boleh buat penonton tidak kering gusi. Selama 152 minit menonton filem ini, tidak dengar pun adanya penonton tergelak seperti kita menonton Maharaja Lawak. Majoriti adegan ada pertarungan dan di sinilah kehebatan penceritaan dalam Kabali sekalipun masa tayangannya panjang, tetapi dapat mengikat kita untuk menonton daripada mula hingga ke pengakhir cerita.

Berbeza dengan sesetengah filem tempatan yang kita tonton, mereka ada cerita tetapi tidak kemas untuk bercerita. Tarian dan lagu dalam Kabali pula menyimpang daripada tradisi filem Tamil. Koreografi membawa Kabali untuk memenuhi citarasa remaja kontemporari.

Penulis ialah Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 7:27 AM