Asfan harap ada rekod bertulis. FOTO NSTP
Asfan harap ada rekod bertulis. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Asfan meluahkan rasa terkilan apabila tidak menerima sebarang royalti daripada semua muat turun lagu nyanyiannya sebelum ini.

Asfan, 32, berkata status yang ditulis di Facebook miliknya itu ditujukan kepada beberapa syarikat rakaman yang pernah dinaunginya sebelum ini namun tidak mahu menamakannya secara spesifik.

“Saya sudah berada di dalam industri hampir 10 tahun dan secara logiknya, tidak mungkin satu pun lagu saya tidak dimuat turun sebagai nada bunyi dan digital.

“Saya bukanlah terlalu mengejar wang ringgit tetapi apa yang saya mahukan adalah kenyataan bank atau rekod yang tercatat jumlah muat turun dan sebagainya. Ada atau tidak duit daripada hasil muat turun, tak mengapa kerana yang penting adalah rekod bertulis,” katanya.

Kata Asfan, dia sedia maklum lagu dendangannya yang dimuat naik di YouTube pernah mencecah lima juta tontonan dan kerap dimainkan di radio.

Tambah Asfan lagi, dia sudah lama terfikir untuk menyuarakan pendapat mengenai haknya untuk mendapatkan royalti namun tidak berpeluang berbuat demikian.

“Pada Aidilfitri lalu, saya berbincang dengan peguam dan dia menasihatkan supaya hal ini disuarakan untuk mendapatkan hak saya semula.

“Saya yakin, bukan saya sahaja yang berhadapan situasi ini. Mungkin ramai lagi artis lain turut mengalami masalah serupa namun mereka tidak boleh bersuara atas sebab-sebab tertentu.

“Sudah lama saya menantikan maklum balas mereka tetapi sehingga kini tiada khabar berita. Sebelum ini saya ada memaklumkan kepada pihak berkenaan untuk menghubungi saya sekiranya ada sebarang persoalan,” kata Asfan.

Asfan bagaimanapun menegaskan perkara itu tiada kaitan dengan Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP).

“MACP sentiasa membayar royalti lagu ciptaan saya dan tiada sebarang masalah sepanjang kami bekerjasama.

“Sekali lagi saya tegaskan, hal ini tiada kaitan dengan MACP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 8:20 PM