ASFAN berpelukan bersama ibunya.
ASFAN berpelukan bersama ibunya.
Norhayati Nordin


BUKAN ibu bapa sahaja sukar mengungkap perasaan rindu kepada anaknya, namun situasi sama turut dirasakan seorang anak apabila berbulan-bulan tidak bersua 'syurga' tercinta.

Bagi penyanyi dan komposer, Asfan Shah, 35, kini perasaan rindunya yang menggunung terhadap ibu, Azizan Ali, 58, dan bapa, Shah Ruddin Mohd Noor, 62, sudah terubat sebaik dapat mencium serta memeluk mereka pada Rabu lalu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan perjalanan merentas negeri dibenarkan. 

Asfan, 35, berkata, dia sangat rapat dengan ibu bapanya dan boleh dikatakan setiap minggu akan pulang ke kampung di Melaka untuk menziarah kedua-duanya. 

Namun, tahun ini segalanya berubah sekelip mata.

"Lima bulan saya tak dapat balik kampung menjenguk ibu dan bapa, perasaan sukar digambar.  Apapun, sebaik dapat salam dan peluk mereka, Alhamdulillah semua rindu yang terpendam selama ini hilang serta merta.

"Saya hanya nak cium dan peluk ibu dan ayah sahaja. Betapa dalamnya perasaan kasih di hati ini, hanya Allah yang tahu. Syukur pada Allah kerana masih memberi saya peluang cium dan peluk mereka," katanya. 

Asfan yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia sangat manja dan rapat dengan ibu bapanya kerana membesar sendirian selama sembilan tahun sebelum adik-beradik lain lahir.

ASFAN
ASFAN

"Jadi, perasaan kasih dalam jiwa saya pada ibu dan ayah lain macam. Saya rasa tak lengkap selagi tidak dapat bertemu secara bersemuka dengan kedua-duanya untuk cium dan peluk mereka.

"Diakui, penularan Covid-19 yang berlaku dalam negara tiba-tiba di luar jangka dan serangannya sangat hebat. Secara tidak langsung, kita semua kini kena jalani kehidupan normal baharu berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Menurut Asfan, perniagaan restorannya bersama isteri, Ain Sakinah Razali yang baru dibuka juga terjejas sebaik kerajaan melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu.

Asfan yang sudah berehat setahun dari industri seni kerana mahu fokus membantu isteri berniaga berkata, dia akur harus memulakan segala urusan perniagaan semula secara menerima tempahan makana secara online.

Apapun, kini keselamatan dan kesihatan lebih utama. Malah, yang pasti kata Asfan, ibu bapanya akan mengikut dia sekeluarga pulang ke Kuala Lumpur pula untuk berhari raya dan meluangkan masa bersama-sama lagi.

Asfan atau nama sebenar, Norasfan Shah Shah Rudin cukup popular dengan lagu Alasan Untuk Bahagia, Semua Tentang Kita, Maafkan Aku dan Sumpah Cintaku yang kebanyakannya menjadi lagu tema drama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 8:42 AM