Asfan Shah. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Asfan Shah. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Asfan Shah, 33, menjelaskan salah faham yang timbul antara dirinya dengan komposer dan penyanyi muda yang mengatakan bahawa lagu ciptaannya, Sulit nyanyian Aman Aziz adalah ciplak.

Asfan memaklumkan, penyanyi yang tidak mahu dinyatakan namanya itu menghubunginya dan memohon maaf atas salah faham yang timbul.

“Dia ada menghubungi saya semalam dan tidak mahu isu itu dipanjangkan.

“Dia turut meminta saya memadam muat naik di Instagram saya yang menegur sikapnya yang bercakap di belakang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Fatamorgana Cinta itu, dia mendapat tahu mengenai kenyataan komposer itu melalui rakan artis yang juga kliennya.

“Rakan artis yang juga klien saya memberitahu saya bahawa artis itu mengatakan bahawa lagu Sulit adalah hasil ciplak.

“Jadi, saya tulis di Instagram, sekiranya dia yakin dengan kenyataannya, saya memintanya berjumpa dengan saya dan jelaskan sebagai orang muzik, bahagian mana yang dikatakan ditiru.

“Saya tidak mahu hentam atau menjatuhkannya kerana saya hargai bakatnya. Tapi, ini membabitkan nama dan reputasi saya sebagai penyanyi dan komposer,” katanya.

Tambah Asfan, tegurannya adalah sebagai ‘abang’ dan orang yang terlebih dahulu berada di dalam industri.

“Ketika saya mula menapak di dalam industri, dia masih di bangku sekolah lagi. Jadi, saya tegur sebagai abang atau senior dan saya harap, teguran saya itu dapat digunakannya di masa depan,” katanya.

Selain menegur mengenai sikap komposer terbabit dalam terutamanya melontarkan pendapat, Asfan juga berkongsi ilmu mengenai penghasilan lagu di Instagramnya.

“Dalam muat naik di Instagram (yang dipadam) saya, saya juga berpesan supaya hasilkan lagu mengikut kemampuan supaya tidak berlaku kesulitan ketika menyanyi secara langsung,” katanya.

Asfan berharap agar isu sebegitu tidak timbul lagi memandangkan industri seni tanah air tidak besar.

“Saya dengan dia pun dah okay. Mana tahu, kalau ada rezeki, kami boleh berbincang banyak hal sekaligus berkolaborasi pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 3:34 PM